Monday 25 February 2019

DOULA BANTU PROSES BERSALIN


Masyarakat Malaysia diterjah dengan istilah ‘doula’. Apa itu doula?

Perkataan ‘doula’ berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”. Golongan ini telah pun wujud berabad lamanya dan dikatakan mampu memberikan pengalaman positif kepada para ibu yang hamil dan bakal bersalin.

Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan).

Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin.

Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.

Secara asasnya, ada 3 jenis doula iaitu doula antepartum, doula labor, dan doula pospartum.

Doula antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.

Doula labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin. Namun, polisi hospital kerajaan tidak membenarkan orang lain masuk ke bilik bersalin. Malah, sesetengah polisi hospital swasta di Malaysia juga tidak membenarkannya.

Manakala, doula postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan. Ada juga doula postpartum yang membantu dari segi penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.

Khidmat doula dikatakan popular di sesetengah negara barat. Doula merupakan individu yang bukan dari bidang perubatan tetapi hadir memberi sokongan dari segi emosi dan fizikal kepada ibu-ibu mengandung sebelum, semasa dan selepas melahirkan anak.

Kelahiran melalui doula didakwa dapat mengurangkan risiko melahirkan anak secara pembedahan, kurang berkemungkinan untuk menggunakan sebarang ubat tahan sakit serta para ibu dapat melahirkan anak secara positif.

Isu doula timbul bukan kerana fungsinya, tetapi sisi buruk amalan itu. Ini tidak dinafikan kerana di sebalik kebaikan ada kelemahan atau keburukan.

Maka, kesan baik itu perlu dipertingkatkan dan kesan buruk perlu dikawal. Jangan kerana terlalu mempromosikan kebaikan sehingga mengabaikan kemungkian keburukan akan berlaku.

Untuk memperlihatkan kebaikan, banyak perkara yang tidak sepatutnya dilakukan telah menjadi ‘fungsi’ dan ‘kepakaran’ doula. Mereka memberi fakta yang bercanggah dengan amalan perubatan biasa.

Antara yang dipromosikan oleh doula ialah kelahiran di rumah yang dikatakan akan mengelak kemungkinan risiko melahirkan anak secara pembedahan, kurang berkemungkinan untuk menggunakan sebarang ubat tahan sakit serta para ibu dapat melahirkan anak secara positif.

Dalam kelahiran biasa, perkara itu tidak menjadi masalah. Ibu dahulu bersalin dengan selamat di rumah dengan bantuan bidan kampung.

Persoalannya apabila melibatkan kelahiran berisiko. Sudah ada kes kematian bayi akibat komplikasi ketika proses kelahiran yang berlangsung di rumah. Ibu dikatakan tidak ke hospital disebabkan mendengar nasihat doula.  

Kita sepatutnya ke hadapan, bukannya kembali kepada keadaan di mana bilangan hospital amat kurang dan berada jauh dari rumah.

No comments:

Post a Comment