Tuesday 26 February 2019

SYAITAN GIGIH SESAT MANUSIA

Dalam usaha menyesatkan manusia, syaitan tidak tidur dan rehat. Dia mendatangi manusia sebilang masa, tempat dan keadaan. Syaitan boleh berada dalam segenap bahagian badan manusia, termasuk di dalam darah dan hati.

Biarpun sekuat mana usaha syaitan, manusia beriman dan hanya mengharapkan keredaan Allah sepanjang hidupnya, tidak akan terpengaruh dengan hasutan syaitan. Syaitan dijadikan musuh dan sentiasa memohon daripada Allah agar dijauhkan daripada hasutan syiatan.

Bagaimanapun, sesiapa terdorong mendengar hasutan syaitan dan terlanjur melakukan dosa, Allah memberi peluang untuk memperbetulkannya. Ia dapat dilakukan dengan cara bertaubat. Taubat boleh dilakukan sepanjang masa. Sebaik-baik taubat dilakukan selepas  menyedari melakukan dosa. Ia bertujuan bagi mengelak daripada ia terus berulang-ulang sehingga menutup pintu hati.

Seringkali alasan orang menangguh taubat kerana merasakan diri masih muda. Ramai menyimpan angan-angan ingin bertaubat apabila usia sudah tua. Mereka tidak ingin bertaubat ketika usia muda kerana ingin terus melakukan perkara maksiat yang mendatangkan kepuasan dan kesenangan hidup. 

Sifat menangguh-nangguhkan taubat merupakan hasutan syiatan. Semakin banyak dosa dilakukan yang tidak dibersihkan dengan taubat, maka semakin tertutup pintu hati untuk bertaubat. Dosa dilakukan berterusan sehinggalah tiada lagi keinginan untuk bertaubat.

Terlalu ramai dilihat orang tua masih leka dan bergelumbang dengan dosa. Malah, ada orang tua semakin menjadi-jadi melakukan maksiat, melebihi apa yang dilakukan ketika muda.

Orang dipenuhi dosa merasakan diri sentiasa resah, tidak mendapat kepuasan hidup, tamak, ketagih melakukan maksit dan benci melakukan kebaikan. Doa orang berdosa sukar dimakbulkan oleh Allah.

Setiap Muslim perlu sentiasa menjauhkan diri daripada jerat syaitan. Sekiranya terjerat, segeralah bertaubat dan kembali ke jalan benar. 

Syaitan tidak mudah berasa puas kejayaan mempengaruhi manusia melakukan kejahatan. Setiap kejayaan akan menaikkan lagi semangat syaitan untuk terus menghasut manusia ke jalan kesesatan sehingga tidak dapat mencari jalan kebenaran lagi.

Firman-Nya bermaksud: Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” - (Surah an-Nisa, ayat 60). Kesesatan yang jauh menjadikan manusia berani membantah dan menafikan kekuasaan Allah.

Kisah keangkuhan Firaun merupakan bukti nyata kesesatan manusia yang telah dipengaruhi syaitan. Firaun mengaku menjadi tuhan dan berkuasa melakukan apa yang diingini. 

Syaitan juga menjadikan Qarun yang pada mulanya beriman kepada Allah dengan mengikuti ajaran Nabi Musa, bertukar angkuh dan sombong setelah memiliki kekayaan yang banyak. Nasihat dan seruan Nabi Musa tidak diendahkan oleh Qarun akibat hasutan syaitan yang lebih menguasai minda dan nafsunya. 

Berusahalah meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Cara itu dapat mengelakkan diri daripada dipengaruhi oleh hasutan syaitan. Allah menjadikan manusia dan jin semata-mata untuk berbakti dan beribadat kepada-Nya. Sesiapa yang engkar, maka termasuklah dirinya dalam kumpulan hamba yang rugi.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment