Sunday 14 July 2019

Jambatan Gantung Tamparuli

Tamparuli merupakan sebuah pekan kecil yang terletak dalam daerah Tuaran, Sabah. Jaraknya dari Kota Kinabalu yang menjadi ibu negeri Sabah ialah kira-kira 35 kilometer atau mengambil masa perjalanan kira-kira 40 minit. Majoriti penduduknya adalah daripada suku kaum Kadazan Dusun.

Nama Tamparuli terkenal kerana adanya Jambatan Gantung Tamparuli yang merentasi Sungai Tamparuli yang menjadi sebahagian aliran Sungai Tuaran.

Jambatan Gantung Tamparuli menjadi mercu tanda pekan Tamparuli. Lebih menarik lagi apabila ada sebuah lagu 'Jambatan Tamparuli' yang dicipta oleh Justin Lusah.  

Jambatan Gantung Tamparuli menjadi lokasi 'wajib singgah' bagi pelancong yang ingin menuju ke Kundasang dan Ranau. Mereka akan mengambil peluang melalui jambatan tersebut dan tentunya mengabadikan gambar kenangan.

Bagi mereka yang belum pernah pergi ke Tamparuli, harus diingatkan Jambatan Gantung Tamparuli dan Jambatan Tamparuli adalah dua objek yang berbeza.

Jambatan Gantung Tamparuli seperti namanya adalah jambatan guntung yang dibina tergantung. Jambatan ini hanya untuk laluan penjalan kaki dan lebih berfugsi sebagai tarikan pelancong untuk mengalami pengalaman melalui jambatan gantung.

Manakala Jambatan Tamparuli konkrit berada tidak jauh dari Jambatan Gantung Tamparuli yang berada lebih tinggi di atasnya. Jambatan Tamparuli boleh dilalui pelbagai jenis kenderaan, termasuk kenderaan berat. 

No comments:

Post a Comment