Saturday, 3 November 2018

PROSES MENGAYAK MENGANGIN PADI

Perkataan memperanginkan bermaksud meletakkan sesuatu di tempat yang berangin atau menjadikan berangin. Dalam proses kerja-kerja menanam padi secara tradisional bermula dari menanam padi sehingga menghasilkan beras, terdapat proses yang dinamakan menganginkan.

Kerja menganginkan padi merupakan proses untuk memisahkan padi matang atau elok dengan benih padi yang kosong atau hampa. Proses ini amat penting bagi memastikan padi yang akan diproses untuk menjadi beras tidak akan bercampur dengan padi yang tidak mempunyai isi. 

Proses menganginkan padi juga bertujuan untuk mengasingkan bendasing yang turut berada bersama padi seperti daun dan tangkai padi.

Sebelum proses menganginkan padi, padi mestilah dijemur di bawah panas matahari bagi memastikan ia benar-benar kering. 

Dua sebab mengapa padi mesti dikeringkan. Pertamanya untuk memudahkan kerja-kerja menganginkan padi dan keduanya untuk mengelak padi bercambah atau menjadi rosak apabila disimpan nanti.

Bagi memastikan proses ini berjalan dengan lancar, kekuatan angin mestilah mencukupi bagi melancarkan proses ini. Kerja-kerja ini dilakukan di kawasan tanah lapang, biasanya ditepi kampung berhampiran kawasan sawah. Angin bertiup dari arah sawah pada waktu petang biasanya laju memudahkan kerja menganginkan padi.

Padi akan diletakkan di dalam nyiru atau badang dan kemudianya diangkat setinggi mungkin melepasi paras kepala dan kemudian dicurahkan secara sedikit-sedikit.

Padi yang elok akan jatuh lurus ke atas tikar atau bekas yang diletakkan di bawah. Manakala padi hampa yang ringan pula akan jatuh jauh sedikit dan terasing dari padi elok kerana ditiup angin. 

Padi yang elok akan diambil disimpan di dalam bakul atau guni, manakala padi hampa dan bendasing lain ditinggalkan yang menjadi habuan itik dan ayam.

Satu lagi kaedah menganginkan padi ialah menggunakan nyiru jarang yang diikat atau digantung pada tiga batang buluh sebagai penyangga untuk berdiri. Cara ini dilakukan biasanya jika kuantiti padi yang banyak.  

Sekarang ini proses menganginkan padi dilakukan di dalam mesin yang dilakukan serentak semasa proses mengasingkan kulit padi untuk menjadi beras. 

No comments:

Post a Comment