Monday, 21 January 2019

CARA PILIH YANG DI-PERTUAN AGONG

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 32. Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isterinya. (1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.

Perkara 32 (3) - Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja atau boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti memegang jawatan apabila terhenti menjadi Raja.

Proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu perlu dibuat apabila akan berlaku kekosongan akibat tamat tempoh lima tahun, kemangkatan atau seperti dinyatakan Perkara 32 (3).

Apabila terdapat kekosongan pada jawatan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-raja akan menjalankan fungsinya sepertimana dalam Perkara 38(6)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Hanya sembilan Raja Melayu yang menjadi ahli Majlis Raja-Raja akan membuat pemilihan itu pada mesyuarat khas yang ditetapkan.

Cara pemilihan itu dilakukan adalah seperti berikut:
Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong kecuali Raja itu belum dewasa atau seseorang Raja itu tidak berhasrat dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Seseorang Raja juga tidak layak untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong sekiranya Majlis Raja-raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.

Majlis Raja-raja bertindak menurut budi bicara berhubung peranan memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya.

Berkaitan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.

Jika Raja itu tidak menerima tawaran tersebut, Majlis Raja-raja akan menawarkan jawatan itu kepada Raja yang negeri berikutnya dalam senarai pemilihan itu dan demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima jawatan tersebut.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Senarai pemilihan tersebut dinyatakan dalam Seksyen 4 yang bermaksud, pada pemilihan pusingan pertama, senarainya adalah mengikut pengiktirafan keutamaan antara raja-raja sendiri.

Namun, bagi pemilihan pusingan selepas itu, senarai pemilihan adalah mengikut kedudukan Negeri di dalam senarai yang disusun mengikut raja di negeri-negeri yang mana, mana-mana raja yang telah menerima jawatan Yang di-Pertuan Agong akan dipindahkan ke hujung senarai pemilihan.

Pada Seksyen 4(2)(b), Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, ada dinyatakan “apabila ada sesuatu perubahan Raja sesuatu Negeri yang ada dalam senarai ketika itu, Negeri itu hendaklah dipindahkan ke hujung senarai itu.

Laman web rasmi Majlis Raja-raja turut mengandungi maklumat prosedur bagaimana pengundian dijalankan.

Sekiranya Raja atau Sultan negeri tersebut berada dalam senarai teratas dan bersetuju untuk dicalonkan, baginda boleh diundi secara sulit oleh Majlis Raja-raja.

Kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat sama. Kemudiannya kertas undi akan dimasukkan ke dalam peti serta dimusnahkan sama ada dibakar atau dirincih di hadapan Raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan.

Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama-sama dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Dalam mesyuarat pemilihan itu, hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan itu.

Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan membekalkan satu kertas undi pada setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.

Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun raja itu gagal memperoleh undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas itu, barulah Majlis Raja-raja mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

No comments:

Post a Comment