Padang Bank Kota Bharu terletak berhampiran Sungai
Kelantan di tebing sebelah timur. Di sebelah timur Padang Bank terletak Masjid
Muhammadi dan Pejabat Kastam. Manakala di hujung Padang Bank sebelah timur
terletak pula Pintu Gerbang atau Kota Ismail Petra, terus menuju ke pintu utama
Istana Balai Besar.
Asal nama Padang bank ialah
Padang Kelupang. Pada tahun 1906, nama Padang Kelupang telah
ditukar menjadi Padang Bank. Dalam catatan lain, nama Padang Bank dikatakan
bermula tahun 1915.
Pertukaran nama itu sempena kerajaan Kelantan di bawah
pemerintahan Sultan Muhammad ke IV telah mengeluarkan ‘Wang Pitis’ yang mana
kilang membuatnya terletak berhampiran Istana Balai Besar.
Kerajaan Kelantan sebenarnya telah mempunyai beberapa
jenis mata wang sebelum diperkenalkan Wang Pitis. Motif Pohon Pitis dari
Kelantan telah digunakan sebagai logo Bank Simpanan Nasional.
Kesemua keluaran wang siling tempatan Kelantan telah
dihentikan dalam tahun 1909 apabila Kelantan diserahkan oleh Kerajaan Siam
kepada Kerajaan British dan diletakkan di bawah pentadbiran Negeri-negeri Selat.
Untuk menyimpan Wang Pitis, kerajaan Kelantan telah
membina sebuah bangunan dipanggil Bank Pitis yang terletak di tepi Padang
Kelupang, berhampiran dengan Istana Balai Besar.
Kewujudan Bank Pitis itu di berhampiran Padang Kelupang
menyebabkan namanya ditukar atau dipanggil Padang Bank.
Nama Padang Bank lebih dikenali apabila sebuah bank
terkenal beroperasi bersebelah padang itu. Bank itu adalah bank komersial
pertama beroperasi di Kelantan. Atas dua sebab itu nama Padang Bank terus
dikenali sehingga awal 80an.
Di Padang Bank banyak berlaku peristiwa bersejarah
terutama yang masih disebut turun temurun ialah tempat di mana Tok Janggut yang
dibunuh oleh Inggeris telah digantung mayatnya dengan keadaan kepalanya ke
bawah pada tahun 1915.
Walaupun nama rasmi Padang Bank telah ditukar menjadi
Padang Merdeka, namun di kalangan golongan tua lebih mengenalinya sebagai
Padang Bank. Malah di kalangan golongan tua jika disebut nama Padang Merdeka
banyak yang tidak mengetahuinya, melainkan jika disebut nama Padang Bank.
Di Padang Bank terdapat sebuah tugu yang dibina sempena
pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963.
Padang Bank juga adalah lokasi tetap untuk upacara
perbarisan sempena sambutan Keputeraan Sultan Kelantan yang diadakan setiap
tahun.
No comments:
Post a Comment