Friday, 3 July 2026

RASULULLAH BIJAK TANGANI KRISIS

 
Rasulullah bijak tangani krisis. Ketika Perang Khandak, umat Islam bertahan di Madinah dengan membina parit sebagai kubu. Namun, setelah lama bertahan, tentera Islam mengalami keletihan dan bekalan makanan semakin berkurangan. 

Lebih parah apabila ada kabilah yang menjadi sahabat cuba berpaling tadah. Keadaan itu menimbulkan satu keadaan genting yang perlu ditangani segera.

Khabar angin tentang serangan besar-besaran dari arah penempatan Quraizah ke atas Madinah mula tersebar secara meluas. Khabar angin ini menjejaskan semangat orang Islam.

Nabi Muhammad menghantar 100 orang Islam ke pusat bandar Madinah bagi pertahankan sebaik sahaja baginda mendengar berita angin tentang pembelotan Bani Quraizah. Kira-kira 300 orang askar berkuda juga diarahkan mempertahankan Madinah.

Banyak tentera Islam sudah hampir hilang daya. Namun, baginda tidak panik, sebaliknya terus menyusun gerak saraf untuk mengawal keadaan.

Pada ketika itu, Nabi Muhammad didatangi Nuaim ibn Masud, seorang kenamaan Arab yang dihormati orang tentera gabungan, yang telah memeluk Islam secara rahsia.

Pada pertemuan itu Nabi Muhammad meminta Nuaim membuat provokasi di kalangan tentera gabungan untuk menanam rasa curiga sesama mereka.  

Nuaim telah pergi menemui Bani Quraizah dan memberi amaran tentang niat ahli gabungan yang lain. Katanya, sekiranya pengepungan itu gagal, pihak lain dalam gabungan tidak akan ragu-ragu meninggalkan orang Yahudi di tangan Nabi Muhammad.

Justeru, Quraizah harus meminta rakan yang lain memberi beberapa orang jaminan sebagai tawanan bagi memastikan kerjasama berterusan. Nasihat Nuaim ini menimbulkan kerisauan di kalangan orang Quraizah yang sememangnya sudah mula berasa curiga.

Kemudian Nuaim pergi bertemu Abu Sufyan, ketua kumpulan gabungan, dan memberitahunya bahawa kaum Quraizah sudah berpaling tadah dan menyertai Nabi Muhammad kembali.

Beliau menyatakan bahawa kaum Yahudi itu berniat meminta jaminan tawanan daripada pihak gabungan, kononnya sebagai balasan kerjasama yang diberikan mereka, tetapi sebenarnya akan diserah Quraizah kepada Nabi Muhammad.

Justeru, pihak gabungan tidak sepatutnya memberikan mahu seorang pun jaminan tawanan kepada Quraizah. Dan Nuaim mengulangi ceritanya kepada kaum-kaum gabungan yang lain.

Strategi Nuaim berkesan. Setelah berunding, ketua-ketua gabungan menyuruh Ikrimah ibn Abu Jahal pergi ke Quraizah sebagai isyarat serangan bersatu terhadap Madinah.

Sebaliknya, Quraizah berkeras meminta orang tebusan sebagai jaminan yang pihak gabungan tidak akan meninggalkan Bani Quraizah sekerianya pengepungan gagal.

Pihak gabungan pula berfikiran bahawa Quraizah akan menyerahkan jaminan tawanan tersebut kepada Nabi Muhammad dan seterusnya enggan memberi orang tebusan. Perutusan dihantar pergi balik antara kedua belah pihak, namun tidak ada yang mahu berganjak.

Puak Badwi, kaum Ghatafan, dan puak-puak lain mula rungsing. Mereka menyertai gabungan hanya dengan harapan mendapat hasil rampasan perang dan bukan kerana membenci Islam.

Mereka putus harapan kerana pengepungan memakan masa lama dan berasa kurang minat meneruskan pengepungan.

Kedua-dua kelompok pihak gabungan ini pada kesudahannya mula menuding jari dan saling mencurigai pihak yang lagi satu.

Pada masa yang sama bekalan pihak gubungan juga menyusut. Kuda dan unta mati akibat kebuluran dan kecederaan. Cuaca pula amat sejuk dan hujan turun buat beberapa hari. Angin kencang bertiup meranapkan khemah, memadamkan unggun api, sekaligus menghilangkan punca haba anggota gabungan. 

Kesemua ini mereka anggap sebagai petanda sesuatu yang buruk yang akan melanda mereka. Kesatuan mereka sudah berkecai. Akhirnya mereka mula berundur pada waktu malam dan pada keesokan harinya medan perang menjadi kosong.

Penduduk Madinah terselamat daripada kepungan selama 25 hari.

Gambar replika parit dijadikan kubu pertahanan Madinah.

No comments:

Post a Comment