Friday, 20 January 2017

DOA TAWAKAL HANYA KEPADA ALLLAH

Doa dan tawakal hanya  kepada Allah. Setiap muslim perlu sentiasa berdoa memohon pertolongan dan bantuan daripada Allah dalam apa jua keadaan dan masalah dihadapi. Doa dalam bentuk permohonan agar diperkenankan sesuatu permintaan, sama ada mendapat kebaikan atau dijauhkan keburukan pada masa sekarang mahupun akan datang. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Aku akan masuk neraka dalam keadaan hina.” (Surah al-Mukmin, ayat 60). 

Sudah menjadi fitrah manusia hidup dalam keadaan sering mengharapkan perlindungan dan pertolongan Yang Maha Kuasa, apalagi kedudukannya sebagai makhluk di hadapan Khaliqnya (PenciptaNya).

Kerana tabiat manusia itu adalah lemah dan tidak berdaya dari semua aspek. Kelemahan dan ketidak upayaan ini boleh diatasi jika manusia mendekat dan menyandarkan dirinya serta berlindung kepada Yang Maha Kuasa, kerana hakikat kekuatan itu secara lahir dan batinnya bersumber daripada Allah SWT.

Oleh yang demikian, manusia tidak boleh terpisah dari Tuhannya, maka manusia perlu mendekatkan diri kepadaNya dengan menyembah dan mengingatiNya di setiap waktu dan tempat. 

Sedangkan wasilah (cara) untuk mendekatkan diri tersebut adalah melalui perantaraan ‘doa’, sebab dengan berdoa membuktikan penghambaan kepada Allah SWT.

Orang yang selalu berdoa bererti dia mengetahui hakikat dirinya dan hakikat Penciptanya yang mesti disembah dan ditaati, seperti ungkapan seorang ulama salaf:  Siapa mengenal dirinya pasti dia mengenal Tuhannya.” 

Kita perlu memohon kepada Allah SWT. Selain bertujuan memohon apa yang dihajati, doa juga dianggap satu ibadah.  

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Doa itu adalah ibadah, Tuhanmu telah berfirman, berdoalah kamu kepadaKu, nescaya pasti aku akan perkenankan.”- ( Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah).

Ketika memohon, hendaklah dilakukan dengan sesungguh hati. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai manusia, pintalah oleh kamu akan Dia dalam keadaan kamu semua yakin dengan kemakbulan. Bahawasanya Allah tidak akan memakbulkan doa daripada seorang hamba yang hatinya kosong dan lalai." - (Hadis riwayat Ahmad).

Mereka yang enggan mohon kepada Allah SWT, dianggap sebagai orang yang sombong. Allah SWT benci kepada orang yang memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu memohon pertolongan kepada-Nya. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang tidak memohon kepada Allah, nescaya Dia akan murka kepadanya” - (Hadis riwayat Bukhari)

Allah sentiasa akan memperkenankan apa yang dipohon kepada-Nya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Kalian mintalah kepada Allah daripada anugerah-Nya.  Sesungguhnya, Allah senang untuk diminta." - (Hadis riwayat Tirmizi).

No comments:

Post a Comment