Friday, 20 January 2017

Wajib zakat fitrah

Pada setiap Ramadan, selain ibadat puasa, turut wajib dilaksanakan ialah zakat fitrah. Waktu zakat fitrah sepanjang Ramadan hingga sebelum imam angkat takbir sembahyang sunat Aidilfitri.

Kadar harga zakat fitrah seperti diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke 57 bertarikh 10 Jun 2003 bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat oleh BERNAS bagi setiap beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kg.

Kefarduan zakat fitrah berdasarkan hadis bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah ini daripada Muslim, baik hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, iaitu sebanyak segantang kurma atau gandum.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Zakat dari sudut bahasa bermakna keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Manakala dari segi syarak pula bermaksud sebahagian harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah untuk diberikan kepada orang yang berhak menerimanya.

Zakat fitrah atau disebut juga zakat diri adalah kefarduan ke atas setiap orang. Zakat fitrah diwajibkan kepada semua individu Muslim, tidak kira kecil, miskin maupun hamba.

Dari Abu Said al-Khudriy katanya: “Ketika Rasulullah masih berada bersama kami, kami mengeluarkan zakat fitrah untuk setiap anak kecil, orang dewasa, merdeka atau hamba sebanyak segantang makanan sama ada berupa keju, gandum, kurma dau anggur kering.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Menurut jumhur ulama (Malik, Syafie, Hambali), zakat fitrah wajib dibayar dalam bentuk makanan asasi pada suatu negeri. Jadi di Malaysia, zakat fitrah dibayar dalam bentuk beras.

Manakala ulama Hanafi, zakat fitrah boleh dibayarkan dengan nilainya (qiimatuhu), iaitu dalam bentuk wang yang setara nilainya dengan makanan.

Biarpun penganut Islam di Malaysia berfahaman Mazahab Shafie, dalam kes membayar zakat fitrah, pandangan ulama Hanafi digunakan pakai iaitu boleh membayar zakat fitrah berdasarkan nilai semasa sumber makanan asasi yang dimakan penduduk setempat.

Justeru, di negara Malaysia majoriti orang Islam berzakat fitrah menggunakan matawang, biarpun masih ada yang kekal menggunakan beras.

No comments:

Post a Comment