Saturday, 16 December 2023

BUKAN MELAYU JADI PERDANA MENTERI

 
Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkan hanya orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri. Menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Manakala itu, Perlembagaan tidak menyatakan Ahli Dewan Rakyat itu mesti seorang Melayu.
 
Jadi, sesiapa sahaja Ahli Dewan Rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama, boleh dilantik menjadi Perdana Menteri menurut Perkara 43(2)(a).
 
Namun begitu, sejarah terlah mencatatkan bahawa 10 Perdana Menteri telah dilantik menurut Perkara 43(2)(a) kesemua mereka adalah dalam kalangan orang Melayu.
 
Dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di negara kita, rakyat tidak memilih Perdana Menteri. Mereka hanya memilih wakil rakyat dalam pilihan raya. Wakil rakyat yang dipilih ini menjadi Ahli Dewan Rakyat dan merekalah yang akan menyatakan kepercayaan mereka kepada seorang Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
 
Jadi, menurut Perlembagaan Persekutuan, sekiranya majoriti Ahli Dewan Rakyat, termasuk Melayu dan bukan Melayu, menyatakan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat bukan Melayu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, maka jadilah dia Perdana Menteri.
 
Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan Perdana Menteri. Namun, kuasa budi bicara itu tidaklah mutlak. Ia tertakluk kepada Ahli Dewan Rakyat itu mendapat kepercayaan majoriti Ahl-Ahli Dewan Rakyat. Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik seorang yang tidak mempunyai kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri.
 
Pada masa yang lalu tidak timbul persoalan bolehkah orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri. Ini kerana konsep perkongsian kuasa antara kaum yang diamalkan oleh Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional membolehkan parti politik Melayu iaitu UMNO mengetuai satu perikatan politik besar atau “grand coalition” yang sentiasa mendapat mandat rakyat secara jelas dalam setiap pilihan raya.
 
Apabila parti Perikatan/Barisan Nasional menang pilihan raya, maka ketua parti itu iaitu seorang Melayu daripada UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri. Itulah yang berlaku dalam 13 kali pilihan raya umum di negara ini.
 
Perubahan berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Barisan Nasional kalah. Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, iaitu parti yang menang dalam pilihan raya, dilantik sebagai Perdana Menteri.
 
Perubahan yang lebih besar berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Tidak ada mana-mana parti atau gabungan parti yang memperolehi bilangan kerusi majoriti di Dewan Rakyat. Dalam keadaan ini, tidak ada mana-mana ketua parti atau ketua gabungan parti politik yang secara automatik boleh dilantik sebagai Perdana Menteri. Ia bergantung kepada siapa yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
 
Dalam keadaan inilah rundingan antara parti berlaku dalam menentukan siapa menjadi Perdana Menteri. Inilah perubahan yang sedang berlaku dalam lanskap politik negara kita.
 
Inilah sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di negara kita. Pada masa dahulu sistem ini telah menjamin orang Melayu menjadi Perdana Menteri. Tetapi dengan perubahan politik yang sedang berlaku dengan deras di negara kita, jaminan ini sudah tidak ada lagi.
 
Namun, akibat Melayu berpecah, kuasa politik orang Melayu menjadi lemah. Banyak parti Melayu bukan menguat Melayu, sebaliknya semakin melemahkan. Sikap pemimpin yang suka menubuhkan parti baharu dan bertukar parti menyebabkan parti Melayu menjadi lemah.
 
Kemenangan lebih banyak wakil bukan Melayu sebagai Ahli Dewan Rakyat bukan kerana parti itu kuat, tetapi ia berlaku kerana Melayu semakin lemah. Melayu semakin lemah kerana sikap suka berpecah dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Masing-masing berasa diri lebih hebat berbanding orang lain.  
 
Propaganda menjatuhkan pemimpin Melayu bukan datangnya dari bukan Melayu. Sebaliknya ia dicipta oleh Melayu sendiri. Apabila pemimpin Melayu dijatuhkan, biarpun digantikan oleh pemimpin Melayu juga, kedudukannya tidak kuat kerana ada Melayu lain pula berusaha untuk menjatuhkannya. Pemimpin Melayu lebih banyak memikirkan bagaimana hendak menjatuhkan pemimpin Melayu lain berbanding memikirkan bagaimana hendak kuatkan Melayu.
 
Jika itu berlakukan berterusan, maka kemungkinan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri akan menjadi kenyataan. Jadi, jangan salahkan bukan Melayu jika perkara ini berlaku. Mereka sudah melihat perpecahan Melayu dan sebab itu mereka nyatakan impian pada satu masa nanti bukan Melayu akan menjadi Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment