Rasulullah SAW telah melarang orang
menguatkan bacaan al-Quran di dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain.
Dalam hadis Nabi SAW berkata Abu Sa’id
al-Khudri: “Ketika Nabi beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar
mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi berada di
tempat ibadah baginda.
"Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui
setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti
sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam
solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Dalam hadis ini Nabi SAW melarang
mengangkat suara bacaan di dalam masjid sehingga menganggu mereka lain yang
sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam
masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk
diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin
untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka
yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan
seumpamanya.
Ulama besar pada zaman ini, Al-Syeikh
Muhammad Salih al-Uthaimin mengulas hadis tadi dengan katanya: “Realiti hari
ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka
yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar
masjid).
"Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka
mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada
hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di
luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..dengan itu kita
berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan
ini..boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh
jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat
dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi
pembesar suara.
"Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang
sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara
yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin)
Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama
besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya
muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.
Ulama silam juga telah mengingatkan hal
ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana
boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H)
pernah berkata: “Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan
azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat.
"Mereka jadikan azan perantaranya
lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan.
Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan
nasihat atas menara azan.
"Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran
dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu
bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. (
Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Ini adalah larangan ulama pada zaman yang
belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika
mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?
No comments:
Post a Comment