Sunday 3 December 2023

PUNCA BERLAKU KONFLIK HARIMAU DAN MANUSIA

 
Kes harimau menyerang dan menyebabkan kematian kepada manusia semakin meningkat. Enam kes termasuk lima kematian akibat serangan harimau direkodkan berlaku di Gua Musang dalam tempoh dua tahun bermula Julai 2021.
 
Statistik itu cukup membimbingkan yang pastinya menakitkan penduduk di kawasan berkenaan. Mereka takut untuk keluar mencari rezeki, terutama mencari hasil hutan dan kerja-kerja kebun yang terletak di pinggir hutan, seperti menoreh.
 
Selain, menusia menjadi mangsa serangan harimau, kes yang lebih kerap ialah serangan terhadap binatang ternakan seperti lembu dan kambing. Binatang ternakan lebih terdedah disebabkan berkeliaran di kawasan pinggir hutan dan kebun, termasuk pada waktu malam.
 
Konflik harimau dan manusia ini semakin kerap kerana habitat semula jadi harimau iaitu hutan semakin mengecil. Kalau hutan semakin banyak diteroka, binatang yang tinggal di dalamnya akan turut terancam seperti rusa, napuh, kijang, babi hutan, monyet dan pelbagai spesies lain. Sumber makanan daripada pokok, herba dan pokok kecil akan berkurangan.
 
Semua binatang itu hidup dalam bentuk rantaian makanan. Jika mana-mana sumber makanan itu berkurangan, ia akan memberi kesan kepada sumber makanan yang saling berkaitan. Ini termasuklah kepada harimau.
 
Disebabkan kurang mendapat makanan yang diperlukan untuk meneruskan hidup, harimau akan merayau keluar daripada habitat asal memasuki kawasan kampung dan penempatan manusia untuk mencari makan.
 
Harimau sebenarnya bukan ingin memburu manusia. Hakikatnya harimau takut kepada kehadiran manusia. Namun, dalam keadaan terdesak atau terserempak, harimau akan membaham apa sahaja, termasuk manusia. Kalau binatang ternakan seperti lembu dan kambing, itu memang apa yang dicari oleh harimau untuk dijadikan santapan.
 
Usaha konservasi habitat semula jadi harimau dan hidupan lain perlu ditingkatkan agar kehidupan haiwan kekal “stabil” dengan rantaian sumber makanan mencukupi dan tidak perlu keluar mengganggu dan membahayakan kehidupan manusia. 

Kalau manusia menceroboh dan merosakkan habitat semula jadi haiwan, jangan “marah” jika haiwan itu pula keluar menceroboh penempatan dan membahayakan manusia.

No comments:

Post a Comment