Sunday, 26 June 2022

KETAWA TIDAK BOLEH KETERLALUAN

 
Islam tidak pernah melarang umatnya melahirkan kegembiraan dan kepuasan hati dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. 
 
Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa berlebih-lebihan. Sebaik-baik cara gembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi SAW. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat. 
 
Kata sahabat: "Ketawa segala Nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak". 
 
Lebih tidak bermaruah jika kita ketawa kerana mengejek orang lain. Sudahlah tidak menerima pendapat orang lain, diejeknya pula dengan ketawa. Atau, kita ketawa atas kesengsaraan orang lain. Di manakah sikap perikemanusiaan yang diajar oleh Islam. 
 
Menurut hadis, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu. Barangsiapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu. 
 
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Riwayat Ahmad dan Tirmizi). 
 
Allah swt berfirman bermaksud: "Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan." (Surah at-Taubah, ayat 82). 
 
Jelas daripada ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan. 
 
Mengikut kajian, ketawa yang berlebihan akan memutuskan urat ingatan. Itu sebabnya. orang gila suka ketawa menyebabkan urat ingatannya telah berkurangan.

No comments:

Post a Comment