Thursday 22 February 2024

KRAF TANGAN ANYAMAN KERCUT

 
Kercut berasal dari famili cyperaceae tumbuh  tegak membentuk rumput padat yang kecil. Cirinya batangnya yang tegap, keras dan liat dengan ketinggian mencapai sehingga melebihi satu meter sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Tumbuhan ini mudah tumbuh di kawasan paya, sungai alur dan kawasan yang ditenggelami air.
 
Batang kercut yang telah diproses dianyam untuk dijadikan tikar, bakul serba guna, alas pinggan dan karung padi. Permintaan terhadap produk anyaman kercut semakin mendapat permintaan dan perhatian dari orang ramai akan ketahanan dan seni anyaman yang cantik.
 
Tikar anyaman kercut tahan lasak dan tahan lama. Kena air pun tidak ada masalah, boleh dijemur supaya kering dan boleh digunakan seperti biasa.
 
Seni warisan kraf tangan kercut masih diusahakan di kalangan penduduk di beberapa buah kampung, termasuk di Jelawat, Bachok, Kelantan. 
 
Penghasilan produk daripada rumput kercut memerlukan tenaga yang banyak dimulai dengan mencabut rumput kercut, mengawetkan dengan lumpur, menjemur dan mengetuk kercut sehingga nipis. Proses ayaman akan mengambil masa mengikut kemahiran individu tersendiri.
 
Penghasilan kercut memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi bagi menghasilkan produk yang terbaik.
 
Proses membuat tikar bermula selepas pokok kercut yang sudah dipotong diikat ketat dan digulingkan dalam tanah liat bagi membuang warna hijau aslinya sebelum dijemur.
 
Menjemur pokok kercut mengambil masa antara dua hingga tiga hari bagi membolehkan ia kering dengan elok.
 
Pokok yang memanjang seakan-akan lalang itu kemudiannya ditumbuk bagi meleperkan seratnya sebelum diwarnakan menggunakan pewarna khas. biasanya kayu tembesu digunakan untuk menumbuk helaian pokok kercut kerana ia lebih keras dan tahan lama.
 
Sebelum dianyam, helaian pokok itu sekali lagi ditumbuk supaya lebih nipis bagi memudahkan proses anyaman selain kukuh.
 
Produk kercut semakin dikenali apabila ia sering diketengahkan dalam setiap pameran dan jualan kraf tangan termasuk ketika Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 dari 21 Febuari hingga 4 Mac 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.





No comments:

Post a Comment