Friday, 20 January 2017

DIFINISI NEGARA ISLAM


Perkataan ‘negara’ diertikan sebagai bangsa, masyarakat dan kerajaan.  Dalam istilah politik, sebuah negara mesti mempunyai empat ciri iaitu rakyat, pemimpin, tanah dan kedaulatan.  Tanpa keempat-empat ciri tersebut maka ia tidak dinamakan negara. 

Manakala istilah negara Islam mengikut difinisi para intelektual Islam ada beberapa ciri atau prasyarat.  Sebenarnya penentuan ciri-ciri sesebuah negara Islam satu perkara yang kompleks sehingga menjadi isu perbalahan dalam kalangan ahli politik apabila ada kepentingan dalam menentukan sesebuah negara itu sebagai negara Islam atau sebaliknya.

Secara hakikatnya, difinisi negara Islam yang diberikan oleh jamhur fuqaha dan para ulama lain tidak disebut secara khusus dalam al-Quran mahupun al-hadis.  Namun, para ulama meletakkan difinisi itu bertujuan untuk memudahkan perlaksanaan undang-undang berdasarkan status sesebuah negara (al-Zuhayli: 1998)

Menurut Muhammad Bin Hasan al-Syabani, negara Islam adalah negara yang dikuasai dan diperintah oleh umat Islam dan mereka dapat menikmati keamanan dan keselesaan di dalamnya.   Berdasarkan kepada difinisi itu perkara pokok ialah negara yang dikuasai dan diperintah umat Islam. 

Dikuasai di sini bukan saja dalam segi pemimpin tertinggi, tetapi merujuk kepada majoriti pemimpinnya terdiri orang Islam seperti ketua hakim, ketua polis, penglima tentera, penguasaan ekonomi dan beberapa perkara penting lain dalam negara.  Manakala syarat kedua ialah orang Islam dapat menikmati keamanan dan keselesaan tinggal di negara berkenaan. 

Keamanan dan keselesaan itu bermakna hak orang Islam tidak diganggu atau dipertikaikan oleh orang lain dalam hak pemerintahan dan perkara lain yang berkaitan. 

Manakala bagi Muhammad Abu Zurah pula mendifiniskan negara Islam sebagai negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan Islam.  Kekuatan dan pertahanannya dikuasai oleh umat Islam.  Negara seperti ini wajib dipertahankan oleh setiap individu Islam. 

Kata kunci difinisi tersebut ialah negara berada di bawah pemerintahan Islam yang merangkumi kekuatan serta pertahanannya.  Dengan kata lain, sekiranyang sesebuah negara hanya diperintah oleh pemimpin Islam tetapi kekuatanya dikuasai oleh pihak lain atau menjadi boneka kepada kuasa asing, maka negara tersebut tidak layak dipanggil negara Islam. 

Sebuah negara Islam menjadi tanggungjawab setiap orang Islam mempertahankannya walaupun bukan rakyat negara berkenaan, terutama apabila berdepan dengan serangan bukan Islam. 

Satu lagi difinisi negara Islam seperti diberikan Abdul Karim Zaidan ialah negara yang diperintah oleh orang Islam atau orang Islam yang memegang kekuasaan tertinggi negara.  Penekanan difinisi tersebut terarah kepada negara yang diperintah oleh orang Islam atau orang Islam memegang kekuasaan tertinggi.

Berdasarkan difinisi yang diberikan itu dapat disimpulkan bahawa sesebuah negara ditakrifkan negara Islam jika ketua negaranya beragama Islam dan melaksanakan sisterm pemerintahan berdasarkan hukum Islam biarpun terdapat bukan Islam mendiami negara berkenaan. 

Faktor kepimpinan penting kerana menentukan sejauh mana keupayaan melaksanakan tuntutan Islam, seterusnya menjamin kehidupan orang Islam dalam keadaan aman serta bebas mengamalkan kehidupan sebagai seorang Islam dan menyebarkan agama itu secara bebas.

Dalam membicarakan cara pemerintahan negara, Ibn Taymiyyah menjelaskan bahawa amalan kehidupan Rasullulah SAW tidak dipandang sebagai dasar untuk disesuaikan bentuk pemerintahan tertentu. Menurut pendapatnya, bentuk pemerintahan Nabi SAW dan Khulafaur-Rasyidin tidak dapat berperanan sebagai dasar teori politik dalam Islam.

Pandangan itu menyebabkan beliau mampu menghindarkan dirinya dari “kesalahan menilai kekuatan politik yang ada sebagai kekuasaan yang diwariskan oleh bayangan khalifah”. Ibn Taymiyyah mengemukakan teori politik baru yang Islami, nyata, praktikal dan tahan uji.

Manakala Ibn Khaldun dalam memperkatakan tentang negara Islam (Daulah Islamiyyah) sebagai merujuk kepada negara umat Islam (Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldûn, hlm. 180 dan 210-211). Menurutnya, perkataan negara merujuk kepada erti umum iaitu negara Islam dan negara bukan Islam.

Maka, untuk menjelaskan sesebuah negara sebagai negara Islam maka disebut secara nyata sebagai Negara Islam.  Sedangkan untuk negara bukan Islam, Ibn Khaldun cenderung menggunakan istilah al-mulk (kerajaan) atau ad-dawlah (negara) saja.


Dalam buku al-Ahkam Suthoniyyah, karya Imam al-Mawardi, tidak menjelaskan definisi tentang Negara Islam.  Pun begitu, hal berkaitan negara dan kenegaraan dapat difahami dalam bab berkaitan pemilihan pemimpin, peraturan berkaitan hisbah yang menunjukkan amalan bernegara dalam Islam telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW.   Tidak dijelaskan secara nyata mengenai negara Islam kerana dalam karangan ulama terdahulu telah secara nyata menjelaskan tentang konsep negara dan bentuknya.

No comments:

Post a Comment