Friday 20 January 2017

Bijak guna telefon pintar

Cara bijak guna telefon pintar. Penggunaan telefon pintar sudah dianggap keperluan. Ia bukan saja digunakan untuk bercakap dengan seseorang, tetapi juga kini semakin penting sebagai penghubung menggunakan kemudahan internet.

Menggunakan telefon pintar dianggap lebih murah dan mudah. Banyak aplikasi boleh dimanfaatkan untuk kemudahan. Namun, kemudahan tersebut menjadi sebaliknya jika tidak dilakukan dengan bijak. 

Apabila disebut penggunaan telefon pintar, ia dikaitkan juga dengan internet. Kemudahan internet kini paling berpengaruh dalam kehidupan kita. Kedudukannya sebagai media hiburan dan komunikasi kini mengatasi peranan televisyen pada satu ketika dulu. 


Capaian internet ketika ini amat mudah diperoleh di mana-mana saja. Kadar penembusan capaian internet boleh dikatakan hampir 100 peratus bagi penduduk bandar-bandar besar.
 

Sesiapa yang tidak menggunakan kemudahan internet dianggap sengaja melepaskan peluang untuk mendapat manfaatnya. Bagi sesetengah orang, hidup tanpa capaian internet dikatakan terputus dengan dunia luar dan hidup seperti buntu dan tidak tentu arah. 

Kemudahan internet dulu dikaitkan dengan penggunaan komputer. Namun sekarang ini paling ketara ialah dengan penggunaan telefon pintar. Rata-rata pengguna telefon kini memilih penggunaan telefon pintar yang menggabungkan pelbagai kemudahan selain untuk membuat panggilan dan penghantaran sisterm pesanan ringkas.

Dengan memiliki telefon pintar, pengguna boleh menjadikan ia sebagai menggantikan komputer untuk melayari internet, mengambil gambar, menerima siaran televisyen, siaran radio dan pelbagai kemudahan lain yang dulunya diambil oleh peralatan lain secara peranan tunggal.

Paling ketara penggunaan telefon pintar kini adalah untuk internet yang digabungkan dengan pelbagai aplikasi lain. Ini memudahkan untuk pengguna berkomunikasi di seluruh dunia atau hubungan tanpa sempadan.

Internet menghidangkan pelbagai pilihan kegunaan untuk penggunanya. Ini meluaskan lagi fungsi telefon pintar itu sendiri. Ia amat berbeza ketika mula-mula telefon bimbit itu diperkenalkan.   

Ketika itu telefon bimbit adalah satu-satunya media elektronik yang paling canggih dan paling dihargai dalam menyampaikan dan maklumat ketika berada di luar kediaman. Ketika itu, sesiapa memiliki telefon bimbit sudah dianggap terlalu hebat. 

Bagaimanpun masa telah berubah. Telefon pintar kini tidak lagi dianggap bahan atau peralatan mewah. Pelbagai jenama telefon pintar dipasarkan di seluruh negara dengan kadar harga mampu dimiliki oleh kebanyakan orang.  Penggunaan kini tidak terhad kepada orang dewasa, bahkan di kalangan pelajar dan kanak-kanak.

Dalam menghargai kebaikan internet, tentu sekali seperti juga alat ciptaan manusia yang lain pasti muncul jua keburukannya. Antara perkara paling diperkatakan ialah mengenai keburukan berkaitan mencetus masalah sosial melibatkan pelbagai peringkat umur.

Pengguna internet kini sanggup menghabiskan masa yang lama untuk melayari internet.  Ini tentu merugikan masa dan mengurangkan produktiviti. Pekerja menjadi malas bekerja dan sering ponteng. Begitu juga pelajar kurang memberi perhatian kepada pelajaran disebabkan lebih berminat dengan hiburan di internet.

Disebabkan internet satu hubungan tanpa sempadan, banyak nilai negatif dibawa masuk ke dalam kehidupan seharian yang diterima dari luar negara. 

Akibatnya, keruntuhan moral di kalangan masyarakat Melayu kini semakin dahsyat dan cukup kronik hari demi hari. Tidak syak lagi internet adalah salah satu punca penyumbang kepada gejala itu. 

Bangsa Melayu yang terkenal dengan adab sopan, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada agama sudah berubah akibat pengaruh yang diceduk secara tanpa batasan melalui internet. Ia mencorak kehidupan dan pemikiran mereka.  

Berhati-hatilah agar kita menggunakan kemudahan internet hanya untuk kebaikan dan membuang segala yang mendatangkan keburukan. 

No comments:

Post a Comment