Masalah disiplin pelajar kini mencapai tahap
serius. Tahap perlakuan kini termasuk dalam jenayah, termasuk jenayah berat.
Justeru, Kementerian Pelajaran perlu mengambil langkah proaktif, konfrehensif
dan tepat untuk mengatasi masalah tersebut agar tidak berterusan mencemarkan
imej pendidikan negara.
Jatuhnya sesuatu bangsa bermula rosaknya moral golongan pelajar
dan remaja. Pelajar bakal menjadi pemimpin masa depan. Mereka adalah aset
negara yang menjadi modal insan membangunkan negara. Jika mereka bermasalah,
maka keadaan negara pada masa depan juga menghadapi masalah. Permulaan
membangun negara ialah melalui tertegapnya sahsiah pelajar.
Jika dulu, masalah disiplin belajar berlegar masalah perbuatan
nakal, ponteng sekolah, lepak dan merokok, tetapi kini telah mencapai tahap
membimbangkan. Ada pelajar terlibat dalam kes pembunuhan, pengedaran dadah,
curi, merogol, kongsi gelap dan sebagainya.
Masalah ini berlarutan walaupun sudah memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun institut pengajian tinggi swasta (IPTS).
Kita sering digemparkan dengan berita mahasiswa terlibat dalam kancah seks, jadi pelacur sambilan untuk berseronok, teribat dalam demostrasi, pengedaran dadah dan sebagainya. Perlakuan itu tidak sepatutnya berlaku kerana mereka tergolong dalam kelompok bijak dan mempunyai masa depan yang cerah.
Namun, disebabkan kelemahan dan kecacatan sejak peringkat
sekolah lagi, perkara ini berterusan hinggga ke pusat pengajian tingggi. Tentu
sekali perbuatan ini juga berlanjutan hingga di alam kerjaya dan kehidupan
seharian apabila dewasa. Fenomina inilah yang amat merungsingkan semua
pihak.
Pihak Kementerian Pelajaran telah lama mencari jalan untuk
mengatasi masalah ini. Namun, jalan penyelesaian masih tidak tercapai, malah
semakin terus dan kronik.
Antara yang telah lama dibincangkan dan dicadangkan ialah agar
Kementerian Pelajaran memberi lebih kuasa kepada sekolah untuk mengawal
disiplin pelajar. Guru dan pihak sekolah yang menjadi arkitek pelajar
seakan-akan sekadar diberi kuasa untuk mengajar dan bukan kepada hal-hal lain
terhadap pelajar.
Perkembangan tidak sihat ini bukan saja tanggungjawab
Kementerian Pelajaran semata-mata, sebaliknya semua pihak perlu mengambil
peranan untuk mengawal disiplin pelajar, terutama ibu bapa dan keluarga.
Budaya buli sama ada buli melalui siber atau buli fizikal tidak
boleh dipandang ringan kerana ia merosakkan pelajar. Pelajar nakal merupakan
perkara biasa tetapi apabila berlaku kejadian buli atau pergaduhan berkumpulan
dan satu kumpulan memukul seorang pelajar ia merupakan kes serius. Kes buli
telah mengakibatkan kecederaan serius dan kematian. Pelajar senior bertindak
ala-ganster terhadap pelajar baru.
Masalah disiplin dicetuskan oleh banyak pelajar yang banyak
menghabiskan masa melayari Internet, mengakses bahan tidak bertapis seperti
lucah dan main permainan video. Pengaruh filem dan drama yang disiarkan di
televisyen turut mempengaruhi sikap pelajar.
Perkembangan ini mulai menjadi budaya dan akhirnya pelajar yang dihasilkan tidak berkualiti serta tidak mahir untuk menjadi warganegara cemerlang.Kita tidak mahu sekolah dipenuhi pelajar bermasalah dan mencacatkan perancangan melahirkan generasi harapan masa depan.
Selain sikap ibu bapa yang membawa kepada punca disiplin pelajar
tidak terkawal, ia juga disebabkan guru tidak diberi hak untuk merotan pelajar
untuk mendisiplinkan mereka. Banyak kes guru menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab
yang cuba mencemar serta mencalarkan imej guru sehingga menimbulkan kekecewaan
rakyat apabila berlaku kes guru merotan murid.
Aduan seumpama itu yang disiarkan akhbar dan televisyen kemudian
mendapat perhatian ahli politik dan isu itu pun menjadi lebih besar. Guru
terbabit dikenakan tindakan disiplin dan terpaksa mengharungi kehidupan masa
depan lebih suram.
Guru berkenaan juga tidak berpeluang mendapat pembelaan sewajarnya
padahal niat guru itu hanya untuk mengajar murid yang tidak berdisiplin.
Keadaan ini menyebabkan guru mengambil langkah ‘selamat’ dengan bersikap lepas
tangan terhadap isu disiplin pelajar.
Walaupun niat guru itu baik, tidak semua ibu bapa menganggap apa
yang dilakukan guru itu sebagai sesuatu yang baik. Ada tersalah sangka, lalu
membuat pelbagai andaian dan tidak kurang pula melemparkan tuduhan tanpa usul
periksa.
Apakah pembangunan dan kemajuan menyebabkan pandangan masyarakat
kita terhadap tanggungjawab guru turut berubah? Jika dulu, ibu bapa meminta
guru ‘merotan’ anak mereka jika degil dan malas belajar, mereka kini lebih
cenderung mengambil tindakan terhadap guru yang menghukum anak mereka.
Ada juga ibu bapa menyerang sekolah apabila menerima aduan
daripada anak bahawa guru menyuruh mereka melakukan sesuatu sebagai hukuman.
Kita akui kadangkala ada sesetengah hukuman tidak setimpal dengan kesalahan
dilakukan murid, tetapi dalam kebanyakan kes, memang murid terbabit wajar
menerima hukuman.
Bagi menghadapi keadaan ini, sudah tentu kita memerlukan garis
panduan yang lebih jelas daripada Kementerian Pelajaran supaya isu berkenaan
diatasi dengan sepenuh kebijaksanaan tanpa menjejaskan nama guru terbabit.
Berdasarkan perkembangan sekarang, badan-badan bukan kerajaan
seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu serius untuk terlibat membantu
membaiki disiplin pelajar.
No comments:
Post a Comment