Friday, 20 January 2017

Baik buruk sekolah asrama penuh

Baik buruk sekolah asrama penuh. Banyak pelajar bercita-cita ingin belajar di asrama penuh. Begitu juga dengan ibu bapa pasti berbangga jika anak mereka belajar di sekolah asrama penuh. Minat belajar di asrama penuh timbul dari reputasi pelajar yang mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan awam yang diadakan seperti PMR dan SPM. 

Selain itu, belajar di asrama penuh mampu mendidik pelajar berdikari. Pelajar tinggal di asrama perlu mengurus sendiri keperluan harian seperti membasuh baju, melipat baju, membasuh kasut dan sebagainya. Mereka tidak boleh mengharapkan ibu bapa atau rakan-rakan lain membantu. Masing-masing perlu melakukan sendiri.

Membina keyakinan diri adalah antara sifat pelajar asrama penuh. Mereka perlu yakin untuk hidup tanpa ibu bapa di sisi. Individu terdekat sepanjang tinggal di asrama hanyalah rakan-rakan dan guru. 

Maka tidak keterlaluan jika mereka perlu membentuk kumpulan dalam mencari kekuatan dan keyakinan diri. Dalam aspek ini wujud pula kesan negatifnya apabila mereka cuba berlagak lebih berkuasa berbanding rakan lain. Inilah punca berlaku regging atau dera di asrama penuh.

Satu lagi kelebihan belajar di asrama penuh ialah pelajar berpeluang mengikuti kokurikulum teratur. Ini memandangkan mereka tinggal di asrama. Mudah pihak sekolah menguruskan aktiviti mengikut masa yang sesuai. Pelajar juga mempunyai masa lebih kerana tidak terganggu dengan masa pergi dan balik sekolah setiap hari seperti pelajar sekolah harian.  

Memandangkan pelajar tinggal di asrama, mereka sering bersaing sesama mereka semasa belajar. Semangat belajar timbul apabila lihat rakan-rakan yang lain tekun belajar. Jadi, mereka akan berasa ‘bersalah’ jika tidak belajar. Tambahan lagi, jika dalam peperiksaan dirinya ketinggalan berbanding rakan lain.

Pihak sekolah asrama penuh memberi perhatian lebih kepada pelajarnya. Ini bagi memastikan pelajar yang telah terpilih dari seluruh negara tidak mempersia-siakan kemampuan yang sememangnya lebih baik berbanding rakan-rakan yang lain. Mereka pelajar terpilih. 

Selain itu, pihak pengurusan perlu mempertahankan reputasi sekolah berasrama penuh. Tentu, mereka tidak mahu dikalahkan oleh sekolah harian biasa dalam melahirkan pelajar cemerlang.  

Satu lagi kelebihan sekolah asrama penuh ialah semua kemudahan pembelajaran disediakan oleh pihak sekolah. Kemudahan ini memberi banyak kelebihan, terutama kepada pelajar miskin. Kemudahan itu tidak mampu disediakan oleh keluarga jika tinggal di rumah.

Namun, tidak dapat dinafikan ada juga keburukan belajar di sekolah asrama penuh yang terpaksa dihadapi oleh pelajar.

Perkara pertama ialah hilang keyakinan diri. Banyak pelajar tidak mampu untuk berdikari. Mereka mula hilang keyakinan. Bahkan ada yang menarik diri setelah beberapa minggu berada di asrama penuh.

Bagi yang terus belajar, mereka yang hilang keyakinan diri akan mengambil langkah sekadar ikut-ikut saja. Mereka tidak mampu untuk bersaing dengan rakan-rakan lain. Inilah antara punca mengapa pelajar yang cemerlang di sekolah harian biasa apabila pergi ke asrama penuh tidak mempu mengekalkan prestasi sebelumnya.

Biarpun kita mengaitkan dengan berdikari, pada hakikatnya pelajar masih perlu kepada perhatian dan jagaan ibu bapa. Bagi pelajar yang tinggal di asrama, masa bersama dengan ibu bapa amat kurang, melainkan pada masa cuti. Begitu juga dengan adik beradik akan terdapat jurang dan kurang kemesraan.

Lebih parah lagi apabila terdapat pelajar asrama penuh merasa ‘keras kepala’ merasakan dirinya lebih hebat berbanding dengan adik beradik lain. Disebabkan itu hubungan dengan adik beradik lain semakin jauh. Sudahlah jarang berjumpa, ditambah pula sikap bongkak dan ego menguasai diri.

Apa pun, baik dan buruknya bergantung kepada pelajar itu sendiri. Kerajaan sudah menyediakan yang terbaik untuk pelajar. Gunakan peluang belajar di asrama penuh dengan sebaik-baiknya.

1 comment:

  1. anak2 terlalu kecil untuk menentukan nasib sendiri.

    ReplyDelete