Sebab itu, pelajar
baru di sekolah atau institusi pengajian tinggi perlu mengikuti program minggu
orientasi. Program bertujuan membantu pelajar baru menyesuaikan diri dan
mendapat maklumat mengenai pengajian, persekitaran dan peraturan yang
ditetapkan di tempat baru.
Biasanya, program orientasi diadakan sebaik selepas
tempoh pendaftaran untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hari dan ada melebihi
seminggu, bergantung kepada pengisian program yang ditetapkan.
Masa orientasi adalah peluang terbaik untuk pelajar baru mengetahui, mempelajari dan memahami banyak perkara baru.
Kefahaman dan pengetahuan yang ditimba sepanjang tempoh
orientasi akan memudahkan pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran baru
dan memudahkan untuk memulakan pengajian di tempat baru dengan lancar dan
teratur.
Memandangkan banyak perkara ingin dijayakan sepanjang
program orientasi, sedangkan masa agak terhad, maka susunan program begitu
padat dengan pelbagai aktiviti. Setiap ruang masa diisi sepenuhnya, bermula
dari pagi sehinggalah sampai lewat malam.
Sepanjang tempoh orientasi, pelajar tidak mempunyai
peluang untuk rehat yang cukup. Keadaan ini tidak dinafikan menjadikan program
orientasi memberi tekanan mental dan fizikal kepada pelajar yang tidak biasa
berdepan dengan keadaan sedemikian.
Pelajar tidak sepatutnya mengeluh atau merasa seperti
didera. Sememangnya itu adalah cabaran permulaan yang perlu dihadapi dengan
semangat juang yang jitu dan berkobar-kobar. Aspek cabaran sedemikian
didedahkan kepada pelajar sebagai satu pengalaman baru.
Sepanjang program orientasi adalah masa peralihan untuk
melatih dan membimbing pelajar baru membentuk identiti diri bersesuaian dengan
status pusat pengajian itu. Mereka didedahkan dengan aktiviti bersifat keilmuan
dan dapat menyakinkan tentang tugas dalam usaha mencapai kecemerlang akademik
dan akhlak.
Program berbentuk ceramah, perbincangan berkumpulan,
bekerja dalam kumpulan, perdebatan, merancang dan melaksanakan program,
aktiviti keagamaan, aktiviti kemasyarakatan, bina diri dan bersukan adalah
antara aktiviti yang biasa diadakan sepanjang orientasi. Aktiviti itu adalah
teras mendedahkan dan melatih pelajar memahami banyak perkara yang berkaitan
tugas mencapai tahap kematangan ilmu.
Perjalanan program orientasi dibantu oleh pelajar senior
yang dipilih khas oleh pihak pentadbiran. Kumpulan senior biasanya dikenali
jawatankuasa orientasi (JO) atau nama lain mengikut kesesuaian program. Pelajar
senior yang dipilih adalah kumpulan pelajar terbaik, dari segi pencapaian
akademik maupun akhlak, kepimpinan dan kemahiran tertentu.
Kehadiran JO bukan saja membantu melancarkan program
orientasi, bahkan diharapkan menjadi contoh kepada pelajar baru. Penyertaan dan
kejayaan diraih oleh JO boleh dijadikan panduan untuk pelajar baru merancang
mencapai perkara yang sama, bahkan mungkin lebih baik daripada itu.
Tugas utama JO ialah memastikan susun atur program
dipatuhi dan dilakukan dengan lancar. Selain itu mereka biasanya bertindak
sebagai fasilitator dan penyelaras bagi aktiviti-aktiviti tertentu.
Didapati banyak pelajar baru fobia berdepan minggu
orientasi disebabkan ada cerita mengatakan pelajar junior akan menjadi mangsa
buli pelajar senior. Kejadian tersebut berlaku disebabkan ada segelintir
pelajar senior yang ‘samseng’ dan kaki buli.
Kejadian ini sebenarnya tidak kena mengena dengan program
orientasi dan ditegah sama sekali. Kes buli banyak berlaku ketika selepas
minggu orientasi yang dilakukan pelajar senior yang berlagak hebat.
Pelajar baru perlu memanfaatkan program orientasi bagi
kebaikan proses pembalajaran yang masih lama perlu ditempuhi. Permulaan
yang baik adalah perintis kepada kesudahan dan pencapaian yang baik kemudiannya.
No comments:
Post a Comment