Friday, 20 January 2017

CARA TARIK CINA PELUK ISLAM


Peluk Islam masuk Melayu.  Itulah anggapan bukan Melayu apabila mereka memeluk agama Islam. Sebab itu ada yang takut memeluk Islam kerana terpaksa meninggalkan segala identiti diri, termasuk bangsa.  Hakikatnya perkara itu adalah tidak betul. 

Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.

Justeru, jika salah satu daripada syarat tersebut tidak dipenuhi maka seseorang itu tidak diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang Melayu menjadi murtad atau keluar agama Islam, secara automatik orang tersebut tidak lagi dianggap Melayu menurut undang-undang dan akan terlucut daripadanya hak-hak keistimewaan Melayu yang dinikmatinya sebelum ini. Secara tidak langsung, definisi Melayu sebagai Muslim dari satu sudut, dilihat dapat memelihara akidah Islam orang Melayu agar tidak menajdi murtad.

Namun, dari sudut yang lain, terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk mengaitkan Melayu dengan Islam dalam semua perkara sehingga ke tahap ada yang mengatakan jika seseorang memeluk Islam ia seolah-olah 'masuk Melayu'.

Pengertian salah mengaitkan masuk Islam itu sebagai masuk Melayu menjadi halangan bukan Islam untuk memeluk Islam di negara kita, terutama melibatkan kaum Cina.

Kaum Cina mementingkan kaum atau bangsa berbanding agama anutan.  Itu sekurang-kurangnya realiti yang dapat kita katakan berkaitan Cina di Malaysia. Kaum Cina biarpun berada dalam parti yang berbeza, namun mereka masih boleh bekerjasama dalam soal kepentingan kaum Cina.

Begitu juga dapat kita perhatikan dalam keluarga Cina terdapat ahli keluarga yang berlainan agama, khususnya Buddha dan Kristian, selain agama Tao atau agama nenek moyang.  Ibu bapa seperti tidak kisah anak menukar agama kepada Buddha dan Kristian, tetapi ‘pantang’ ada anak memeluk Islam.  Hal ini kerana mereka menganggap memeluk Islam itu sebagai masuk Melayu.

Pada mereka, masuk Melayu bermakna seluruh ‘sistem’ hidup terpaksa bertukar kepada Melayu selain kepercayaan berkaitan Islam.  Jadi, mereka akan merasa terpisah secara sepenuhnya jika ada ahli keluarga memeluk Islam. 

Tidak dapat dinafikan, sentimen 'Melayu itu Islam' dan 'Islam itu Melayu' yang begitu tebal di dalam masyarakat Malaysia adalah disebabkan definisi Melayu sebagai Muslim dan kerana kaum Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia.

Melayu layak menikmati hak-hak istimewa Melayu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 tersebut antara lain, memperuntukkan hak-hak istimewa orang Melayu melibatkan kuota-kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian tinggi awam.

Selain itu, terdapat juga hak-hak istimewa lain seperti kelayakan pemilikan tanah Rizab Melayu dan pelaburan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Maka itu, berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan, amat penting Melayu memperjuangkan kedudukan Melayunya.  Dalam konteks penilaian sekarang, Melayu mesti Islam.  Kalau setakat tidak fasih berbahasa Melayu tidak ada siapa hendak mempertikaikan sama ada dia Melayu atau tidak.

Pun begitu, Islam tidak sekadar pada nama Melayu.  Islam bukan setakat pada pengakuan bahawa dia adalah Islam.  Islam mesti dibuktikan dengan amalan.  Inilah yang menjadi persoalan adakah orang Melayu sekarang ini Islam?

Perkara ini dibangkitkan kerana banyak orang Melayu sekarang ini hanya Islam pada nama.  Sedangkan cara hidup dan amalan yang dilakukan seharian jauh daripada apa yang dianjurkan oleh Islam. 

Maka itu, dalam kita mencari kebenaran bahawa Melayu itu Islam, perlu juga kita melihat kepada perlaksanaan peraturan atau cara hidup yang berkaitan dengan penganut agama Islam.  Kita tidak mahu Islam hanya pada nama sahaja. 


No comments:

Post a Comment