Friday 20 January 2017

Takrif definisi wahyu

Kandungan makalah ini membincangkan mengenai definisi wahyu dengan beserta dalil-dalinya. Ini penting bagi menjelaskan kekeliruan difinisi umum yang difahami kebanyakan orang bahawa setiap ayat adalah wahyu, sesuai dengan takrif bahawa sesuatu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW adalah wahyu.  

Malah banyak orang memahami bahawa wahyu hanya diterima oleh para nabi dan rasul sahaja. Perkataan wahyu menurut difinisi Kamus Dewan Edisi Keempat ialah firman (kalam) Allah SWT yang dibacakan kepada nabi dan rasul-Nya yang disampaikan sama ada melalui malaikat (Jibril) ataupun tanpa melaluinya. 
           
Para ulama telah memberi banyak difinisi lain berkaitan perkataan wahyu yang kata asalnya dari bahasa Arab ‘al-wahy’ yang diertikan; suara, tulisan isyarat, paham dan bisikan yang tersembunyi dan cepat. Maka, secara etimologinya, wahyu ialah penyampaian daripada Tuhan kepada manusia pilihan-Nya tanpa diketahui orang lain, agar diteruskan kepada umat manusia untuk dijadikan sebagai pegangan hidup di dunia atau di akhirat.

Secara termonologi, wahyu diertikan sebagai pemberitahuan Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih mengenai segala sesuatu yang Dia kehendaki untuk disampaikan, baik berupa petunjuk atau ilmu. Proses penyampaiannya secara rahsia dan tersembunyi yang tidak disampaikan kepada manusia biasa.
           
Muhammad Abduh mendefinisikan wahyu di dalam Risalatut Tauhid adalah pengetahuan yang didapati oleh seseorang dari dalam dirinya dengan disertai keyakinan bahawa pengetahuan itu datang dari Allah SWT, melalui perantara ataupun tidak, sama ada dalam bentuk suara atau tidak.

Biarpun difinisi itu ada persamaan dengan maksud suara hati atau gerak hati, namun ‘keyakinan bahawa pengetahuan itu datang dari Allah’ membezakan suara hati dengan wahyu.

Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran bahwa wahyu merupakan sebuah hakikat dan kebenaran. Perkara ini terdapat dalam beberapa ayat al-Quran yang dinisbahkan kepada Nabi SAW.   

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam, Dia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan.” (Surah asy-Syuara ayat 192-194).

Perkataan "wahyu" juga dikatakan berasal dari kata dalam Bahasa Arab yang berasal daripada perkataan "awha" bermaksud; inspirasi daripada orang lain atau arahan seseorang. Maka, wahyu ialah perintah Allah  SWT yang disampaikan kepada para Rasul-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakub dan anak cucunya, Isa, Ayub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.” (Surah Al-Baqarah, ayat 163)

Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang disampaikan melalui perantaraan Jibril. Wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW ialah lima ayat dari surah Al-Alaq yang menjadi petanda permulaan tugas sebagai nabi dan rasul. Bermula detik itu, Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur selama 22 tahun 2 bulan dan 22 hari, iaitu sembilan tahun di Makkah dan 13 tahun di Madinah. 

Ayat-ayat al-Quran terdapat sebanyak 6236 ayat (sebahagian ulama menyatakan 6,666 ayat) melibatkan 74,437 kalimat dan 325,345 huruf. Setelah dikumpulkan, ia dibahagikan kepada 30 juz dan 114 surah.

Selain itu, wahyu juga ditakrif sebagai satu isyarat.  Hal ini diambil dari kisah yang berlaku kepada Nabi Zakaria seperti yang disebut dalam surah Maryam ayat 10-11 yang bermaksud: “Zakaria berkata: “Ya Tuhanku, berilah aku suatu tanda. “Tuhan berfirman: “Tanda bagimu ialah bahawa kamu tidak dapat bercakap-cakap dengan manusia selama tiga malam, padahal kamu sihat.” Maka ia keluar dari mihrab menemui kaumnya, lalu ia memberi isyarat kepada mereka, hendaklah kamu bertasbih pada waktu pagi dan petang.”

Manakala itu, tokoh pemikir Islam dan pengasas gerakan modernisme, Muhammad Abduh mendefinisikan wahyu di dalam Risalah at-Tauhid adalah pengetahuan yang didapati oleh seseorang dari dalam dirinya dengan disertai keyakinan bahawa pengetahuan itu datang dari Allah SWT melalui perantara ataupun tidak.

Berkaitan wahyu disampaikan tanpa perantaraan, sepertimana dijelaskan sebelum ini, ia bukan satu gerakhati seperti yang orang biasa merasainya. Ia adalah sesuatu keistimewaan yang diberikan kepada individu tertentu.

Perkara ini seperti yang dialami oleh ibu Nabi Musa seperti mana dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa; "Susuilah dia, dan apabila kamu khawatir terhadapnya maka letakkan dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu bimbang dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul." (Surah Al Qashash, ayat 7)

Mannaa Khalil al-Qattaan dalam bukunya “Studi Ilmu-ilmu al-Quran” turut mentakrifkan bahawa wahyu ialah ilham yang diberikan secara langsung kepada seseorang untuk melakukan sesuatu tindakan. 
           
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Aku ilhamkan kepada pengikut Isa yang setia: "Berimanlah kamu kepada-Ku dan kepada rasul-Ku." Mereka menjawab: Kami telah beriman dan saksikanlah (wahai rasul) bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang patuh (kepada seruanmu)." (Surah al- Maaidah, ayat 111)
           
Ilham bukan saja diberikan kepada manusia, bahkan ilham ini turut diberikan kepada binatang atau serangga. 

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 68 yang bermaksud: ‘Buatlah sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di rumah-rumah yang didirikan manusia.” (Surah an-Nahl, ayat 68)

Sebenarnya, selain para malaikat, nabi dan orang tertentu, serta haiwan, turut menerima wahyu ialah langit dan bumi. Berkaitan langit menerima turut menerima wahyu dijelaskan dalam surah Fushshilat ayat 12 yang bermaksud: “Maka Dia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa. Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”

Manakala penyataan bahawa bumi turut menerima wahyu ialah seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Apabila bumi diguncangkan dengan guncangannya (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung) nya, dan manusia bertanya, "Mengapa bumi (jadi begini)?", pada hari itu bumi menceritakan beritanya, kerana sesungguhnya Tuhanmu telah mewahyukan kepadanya. (Surah Az-Zalzalah, ayat 1-5)

No comments:

Post a Comment