Thursday 31 August 2017

Cara dapat pahala pandu kereta

Memandu menempuh perjalanan jauh yang mengambil lama memang amat mencabar. Bagi perantau, setiap musim cuti perayaan dan cuti, mereka berdepan situasi itu dengan perasaan amat membebankan. Bayangkan, masa perjalanan bertambah sehingga sekali ganda, bahkan lebih dari itu apabila masalah kesesakan lalu lintas yang amat teruk.

Disebabkan situasi itu, ada pengguna jalan raya tidak sabar sehingga melakukan perbuatan menyalahi undang-undang jalan raya seperti memasuki lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu merah dan sebagainya.

Umat Islam dinasihat mematuhi peraturan jalan raya bagi menjadikan perjalanan mereka sebagai ibadah yang besar ganjarannya selain mengelakkan berlaku kemalangan. Islam menuntut umatnya mematuhi peraturan dan undang-undang yang diwujudkan oleh pemerintah termasuk yang berkaitan dengan jalan raya.

Mematuhi peraturan-peraturan jalan raya itu adalah satu daripada rangkaian sifat Ubudiyah (perhambaan diri kepada Allah SWT). Firman Allah SWT yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan taatlah kamu kepada "Uli al-Amri" (pemerintah) dari kalangan kamu." (Surah An Nisa ayat 59).

Pemerintah membuat peraturan berdasarkan kepada kemaslahatan (kepentingan) rakyat dan melanggar peraturan itu sebenarnya melanggar syarak dan melanggar undang-undang akhirat.

Kalau masing-masing menyedari bahawa mereka diawasi oleh Allah SWT, mereka diawasi oleh peraturan-peraturan Allah, salah satu kehendak syarak ialah kita mematuhi dan taat kepada peraturan yang dibuat oleh pemerintah.

Jadi memandulah dengan berhemah, memandulah dengan cermat kerana perbuatan itu adalah dalam bingkai Ubudiyah. Dalam Islam sudah lengkap iaitu ada peraturan dan ada kaedah-kaedahnya untuk umat mematuhinya.

Antara kaedah yang diperkenalkan oleh Islam ialah hadis Rasulullah SAW yang menyebut "Orang Islam yang baik ialah mana-mana muslim yang terselamat daripada lidah dia dan tangan dia".

Manusia yang baik pada pandangan Islam ialah manusia yang dapat menjaga lidah, dapat menjaga tangan dia supaya jangan sampai tangan dia membinasa atau merosakkan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jangan kita melakukan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain".

Perkara seumpama ini kita perlu ambil ingatan bahawa memudaratkan diri adalah dilarang dan memudaratkan orang lain juga dilarang.

Kalau kita dapat mematuhinya iaitu menjaga lidah atau menjaga tangan atau kita tidak memudaratkan diri sendiri atau tidak memudaratkan orang lain, kalau kita berjaya melakukannya, kita telah melakukan ibadah kerana menjunjung titah perintah Tuhan.

Apabila menyebut soal pemanduan supaya sentiasa berada dalam bingkai ibadah dan bingkai Ubudiyah, Islam mengajar umatnya supaya berdoa kepada Allah SWT supaya perjalanan itu selamat.

Doa musafir sama ada kita menaiki kenderaan darat, laut dan udara, maka kita diajar oleh agama supaya memulakan perjalanan itu dengan berdoa, sebelum keluar rumah kita disunatkan untuk sembahyang hajat atau sembahyang sunat musafir dua rakaat dengan bacaan-bacaannya yang tertentu.

Dalam Al Quran telah mengingatkan umat Islam bahawa perjalanan ini adalah perjalanan Ubudiyah yang bermaksud perjalanan yang mesti terasa kita diperhatikan oleh Allah SWT.

Pengguna jalan raya tidak boleh menganggap jalan raya sebagai hanya gelanggang mereka tetapi harus ingat ia juga dikongsi dengan orang lain.

Pandulah kenderaan dengan cermat dan berhemah, semoga sampai ke destinasi dengan selamat.

No comments:

Post a Comment