Saturday 16 December 2017

Mata wang dgital tidak diiktiraf BNM

Mata wang digital tidak diiktiraf sebagai mata wang sah, sekali gus tidak melindungi penggunanya jika berlaku sebarang pertikaian atau kerugian.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, mata wang itu tidak dilindungi oleh piawaian atau pengaturan kehematan serta amalan pasaran yang terpakai pada institusi kewangan.

Justeru, orang ramai diingatkan bahawa mata wang digital tidak sah diperlakukan di Malaysia. Orang ramai perlu menilai dengan teliti risiko jika menjalankan urus niaga dalam mata wang digital.

Ini termasuk risiko yang berpunca daripada turun naik harga ketara, ketiadaan pasaran yang dalam dan mudah terdedah terhadap serangan siber yang boleh menyebabkan kerugian ketara.

Pengguna mata wang digital juga tidak akan dilindungi di bawah pengaturan penyelesaian pertikaian jika berlaku apa-apa pertikaian atau kerugian.

Sehubungan itu, BNM mengeluarkan draf cadangan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai penggunaan obligasi pelaporan untuk perniagaan pertukaran mata wang digital.

Menerusi cadangan itu, mata wang digital diletakkan sebagai institusi pelapor di bawah AMLA.

Cadangan ini bertujuan untuk memastikan langkah yang berkesan dilaksanakan bagi menangani risiko pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital dan meningkatkan ketelusan aktiviti mata wang digital di Malaysia.

BNM berkata, cadangan itu termasuk obligasi ketelusan yang bertujuan memberi maklumat berkaitan, supaya orang ramai memahami dan menilai dengan lebih baik mengenai risiko berkaitan dengan penggunaan mata wang digital.

Sebagai institusi pelapor, penukar mata wang digital juga perlu mengisytiharkan maklumat terperinci kepada BNM.

Kegagalan mematuhi obligasi pelaporan membolehkan penukar mata wang digital dikenakan tindakan di bawah AMLA dan perkhidmatan ditamatkan atau tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan kewangan di Malaysia.

BNM tidak mengawal selia mata wang digital kerana ia tidak memberikan apa-apa konotasi bahawa BNM memberikan kebenaran, pelesenan, sokongan atau pengesahan kepada mana-mana entiti yang terbabit dengan penyediaan perkhidmatan mata wang digital.

No comments:

Post a Comment