Perubahan gaya hidup menjadi punca bebanan
kewangan rakyat. Banyak perbelanjaan yang dahulunya tidak perlu, kini menjadi
senarai perbelanjaan.
Dahulu tidak ada kos membayar bil internet
dan telefon pintar, tetapi kini menjadi senarai penting. Masa tahun 80an tidak
ada televisyen berbayar. Dahulu tidak ada restoran besar yang menyediakan
berbagai jenis makanan dari Korea, Jepun dan Barat.
Dahulu, rakyat menggunakan air paip atau air
telaga tanpa ditapis. Tetapi kini boleh dikatakan setiap rumah ada penapis air
yang setengahnya harga mencecah RM5000.
Dahulu kalau sakit urat atau lengah badan,
cari tukang urut atau makan majung. Namun, sekarang ada 'tukang urut' di rumah
yang dibeli dengan harga puluhan ribu ringgit.
Semua itu perubahan gaya hidup yang memerlukan kos. Tidak salah untuk
berubah asalkan mendapat keselesaan hidup. Namun, jika tidak mampu, hiduplah
secara ikut kemampuan. Kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Satu
lagi peribahasa adalah, kalau kail sejengkal, lautan dalam jangan diduga.
Jangan buat sesuatu di luar kemampuan kita.
Kalau ingin menikmati kehidupan
lebih baik, berusahalah lebih gigih. Rebut peluang yang ada walaupun terpaksa
mengorbankan masa dan tenaga. Utamakan kerja dan kurangkan berangan-angan.
Cepat mengambil keputusan dan cepat bertindak. Jangan lepaskan peluang dengan
alasan ada lagi peluang yang sama pada masa hadapan. Masa terus berjalan
biarpun kita tidak menggunakannya. Inilah punca mengapa kita tidak berjaya.
Kelemahan dan kekurangan kita jangan
disalahkan kepada orang lain. Sikap menyalahkan pihak lain tidak akan mengubah
keadaan menjadi lebih baik. Sebaliknya, terimalah kelamahan dan kekurangan
dengan reda. Pada masa sama berusahalah untuk memperbaiki kelemahan itu.
Betulkan apa yang salah. Tambah apa yang kurang. Dengan cara itu sahaja kita
akan menjadi lebih baik.
Ketika rakyat bercakap tentang
terpaksa berdepan masalah ekonomi, warga asing masih menjadikan Malaysia lubuk
rezeki. Mereka sanggup menghabiskan banyak wang semata-mata ingin bekerja di
Malaysia. Malah, mereka sanggup berdepan segala resiko, termasuk maut di
perjalanan untuk sampai di Malaysia. Maka itu, bersyukurlah menjadi rakyat
Malaysia dan hargai peluang yang ada.
No comments:
Post a Comment