Bangsa Melayu kaya dengan cerita
penglipurlara seperti Mat Jenin, Pak Kadok, Lebai Malang, Pak Andih, Luncai
dengan labu-labunya dan banyak lagi. Cerita berkenaan mengandungi unsur
kelucuan, tetapi terselit pengajaran yang berguna.
Kisah Si Luncai dengan labu-labunya berkisar
kepada nasib Si Luncai seorang miskin yang dihukum oleh raja supaya dibuang ke
tengah laut akibat tersilap cakap mengatakan wajah sultan sama seperti arwah
bapanya.
Sepertimana juga cerita penglipurlara lain, banyak
versi penceritaan yang ada. Pelbagai versi ini tidak menjadi kesalahan kerana
kisahnya berkisar kepada cerita rekaan dan tidak ada pengarang asal. Tambahan
pula, pada masa lalu ia disampaikan dari satu generasi kepada satu generasi
secara lisan. Jadi, tentu sekali penyampaian cerita berbeza-beza.
Di sini diceritakan kisah Si Luncai secara
yang ringkas. Akisahnya, Si Luncai seorang miskin dari hujung kampung begitu
ingin menatap sendiri wajah rajanya. Namun, biarpun telah beberapa kali
mencuba, hasratnya gagal disebabkan wajahnya yang buruk serta tidak mempunyai
pakaian yang sesuai untuk mengadap raja.
Namun, pada suatu hari, dia berjaya juga
masuk ke istana dan mengadap raja. Malangnya, dia ditimpa malang. Apa tidaknya,
ketika menghadap raja, terluncur kata dari mulutnya bahawa muka raja mirip
wajah arwah bapanya.
Raja yang zalim itu terasa dipersendakan.
Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa … apatah
lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu.
Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan
adil dan teliti, raja pun menjatuhkan hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti
dibayar dengan nyawa. Dan untuk itu, Si Luncai dihukum bunuh secara dicampakkan
ke tengah laut.
Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai
ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke
dalam laut itu nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam sebuah guni dan
dipikul ke pangkalan.
Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu
itu pun dikayuhlah ke tengah laut. Dari dalam guni itu Si Luncai dapat melihat
beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu. Setelah lama mereka berkayuh,
maka Si Luncai berkata; “kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk
berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat
kamu semua itu?”
Salah seorang daripada mereka berkata;
“Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini”.
Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si
Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”
Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh
raja itu mula tertarik dan beberapa orang pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai
terjun dengan labu-labunya!”
Maka beberapa orang yang lain pun
menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka menjadi dua kumpulan
menyanyikan lagu itu.
“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”
“Biarkan! Biarkan!”
Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang
hingga lekalah mereka semuanya.
Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun
keluar dari guni dan dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu dan
kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dari perahu itu.
Perbuatan Si Luncai terjun dengan
labu-labunya dilihat oleh sekumpulan pendayung di bahagian belakang dan
berteriak ‘Si Luncai terjun dengan labu-labunya” untuk memberitahu bahawa Si
Luncai telah berjaya melepaskan diri.
Namun, teriakan itu pula disambut dengan
‘biarkan biarkan’ oleh pendayung di hadapan kerana menyangka bahawa itu adalah
sebahagian lirik lagu yang mereka nyanyian.
Si Luncai berenang ke tepian menggunakan
pelampung labu air yang dua biji itu.
Apabila sampai ke tengah laut, kumpulan
pendayung di hadapan baru menyedari bahawa Si Luncai telah berjaya melepaskan
diri. Maka kembali ke darat dan mencari Si Luncai.
Mesej yangg
mendalam tersirat di sebalik hikayat ini itulah yang terjadi pada Si Luncai
mengenai nasib keceluparan yang membawa bencana. Tetapi Si Luncai bukan orang
sembarangan, yang miskin cuma harta, bukan minda dan ketangkasan fikirannya.
Otaknya bergeliga dengan pelbagai taktik licik untuk menyelesaikan masalah.
Walaupun telah dihukum mati, Si Luncai tidak panik dan masih mampu berfikir untuk
melepaskan diri.
Kita jangan
mudah menyerah kalah apabila berdepan situasi genting atau mencabar. Cubalah
cari jalan untuk menghadapi masalah itu dengan baik. Akal yang bijak dan hati
yang tenang akan membantu kita mencapai kejayaan.
Satu lagi
mesej yang boleh dikaitkan dengan cerita Si Lucai ialah jangan mudah percaya
kepada helah seseorang. Masyarakat hari ini lebih mudah percaya kepada
seseorang dan membiarkan orang berkenaan melakukan perbuatan salah dan
mengkhianati amanah.
Banyak
situasi atau perlakuan yang dilakukan oleh sesetengah individu atau kumpulan
yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara. Namun, perbuatan itu
dibiarkan saja atas alasan itu hak mereka. Sesungguhnya, perkara yang turut
melibatkan kepentingan orang ramai tidak boleh dianggap sebagai hak seseorang.
Yang buruk perlu dihalang.
Nice morally story..
ReplyDeleteI really love this cerita rakyat. I t would be good i lf you post many moreπππππππ
ReplyDeleteSent about nunuk ragang
ReplyDelete