Di kalangan bukan Islam, apabila ada
kematian, mereka akan mengucapkan Rest in Peace (RIP). Itu ada satu bentuk
ucapan dan doa agar roh si mati berada dalam keadaan aman dan selamat di alam
baka.
Perlu ditegaskan, seseorang muslim tidak
boleh berdoa memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana itu termaktub di
dalam nas yang jelas. Ucapan RIP merupakan doa yang dibacakan oleh orang bukan
Islam, maka umat Islam dilarang daripada mengucapkannya.
Namun Islam sangat menghormati kematian
manusia di mana sunah bagi orang Muslim untuk mengucapkan takziah dan
ucapan-ucapan yang baik kepada orang bukan Islam.
Mengucapkan salam takziah adalah kepada
keluarga dan bukan satu doa untuk si mati. Salam takziah adalah tanda simpati
kepada keluarga si mati, diharapkan dengan ucapan itu keluarga si mati lebih
tenang dan tabah berdepan dengan kehilangan orang tersayang.
Memberi doa keamanan dan ketenangan buat
orang bukan Islam yang meninggal dunia adalah dilarang menurut nas. Firman Allah
SWT bermaksud: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman,
meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat
sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli
neraka.” (Surah al-Taubah, ayat 113)
Menurut Syeikh Wahbah Zuhaili di dalam
tafsirnya, para nabi dan orang-orang beriman tidak boleh turut serta dalam
urusan memohon keampunan Allah SWT bagi orang-orang yang syirik. Ini kerana
konsep keimanan Islam dan kenabian tidak menerima pengampunan orang yang mati
dalam keadaan syirik, maka tidak perlu memohon keampunan untuk mereka.
Perkara ini termaktub seperti mana firman
Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 116 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah
tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa
jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi
sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-hukum-Nya); dan sesiapa
yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah
sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”
Jelas sekali, Allah telah menyatakan tidak
akan sekali-kali mengampunkan dosa orang yang syirik yakni orang kafir, maka
mengapa pula kita ingin mendoakan keampunan kepada mereka.
Syeikh Ahmad al-Sawi pula mengatakan umat
Islam tidak boleh berdoa untuk memohon keampunan bagi orang bukan Islam yang
mati dalam keadaan kafir/syirik. Ada pun doa kepada orang bukan Islam yang
masih hidup, maka ada perbahasan yang perlu diteliti.
Jika tujuan doa tersebut untuk mendoakan
agar beliau dikurniakan hidayah Islam atau kebaikan dunia maka ia dibolehkan.
Tetapi jika doanya untuk memohon keampunan bagi dosa beliau ketika hidupnya
memang dalam keadaan kafir maka tidak diterima doa tersebut. (Lihat: Hasyiyah
al-Sawi, 2/159)
Para ulama fiqh bersepakat bahawa perbuatan
memohon keampunan bagi orang yang mati dalam keadaan bukan islam atau kafir adalah
dilarang. Bahkan ada pendapat yang lebih keras mengatakan individu yang memohon
keampunan bagi orang kafir juga turut dihukum kafir. Ini kerana ia berlawanan
dengan nas yang jelas bahawa Allah SWT tidak akan mengampunkan sesiapa yang
berlaku syirik kepada-Nya, ditambah lagi dengan nas bahawa sesiapa yang mati
dalam keadaan kafir maka dia akan menjadi ahli neraka.
Ada pun bagi orang Islam yang mendoakan
orang kafir agar diberi hidayah maka tidak mengapa. Perkara ini dipersetujui
oleh ulama mazhab Hanafi dan diizinkan untuk mendoakan hidayah menurut mazhab
Hanbali. Sebahagian daripada ulama juga menzahirkan untuk berdoa memohon
keampunan kepada bayi dan anak-anak orang kafir, kerana itu termasuk daripada
undang-undang di akhirat kelak. (Lihat: Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 4/43)
Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka
jelas kepada kita bahawa mendoakan orang bukan islam yang mati dalam keadaan
syirik adalah tidak wajar dan perlu dielakkan.
No comments:
Post a Comment