Saturday, 9 September 2023

PEMERINTAH TERIKAT UNDANG-UNDANG

 
Pembahagian kuasa adalah satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan negara kepada tiga cabang iaitu pemerintah (eksekutif), perundangan (legislatif), dan kehakiman (judisiari).
 
Doktrin ini sebenarnya telah diamalkan Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Alkisah, Rasulullah SAW ingin membeli seekor kuda daripada Badwi. Mereka bersetuju dengan harga kuda itu, tetapi belum menjelaskan bayaran kerana ada hal lain. 
 
Namun, si Badwi itu mempelawa kepada sesiapa sahaja untuk membelinya dengan harga lebih mahal dan ada yang mahu membelinya.
 
Apabila Rasulullah SAW ingin membayarnya, si Badwi tegas mahu menjual kepada orang lain dengan harga lebih mahal.
 
Mengikut hukum Islam, Rasulullah SAW berhak menjelaskan bayarannya kerana jual beli itu masih dalam majlis belum berpisah (khiyar majlis).
 
Namun, si Badwi itu meminta untuk dibicarakan dengan masing-masing membawa saksi.
 
Khuzaimah bin Thabit menjadi saksi Rasulullah SAW. Akhirnya, si Badwi bersetuju menyerahkan kuda itu kepada Rasulullah SAW. (Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasai dan Ahmad).
 
Di sini menunjukkan Rasulullah SAW tidak menggunakan kedudukan untuk mempengaruhi sistem kehakiman yang mewajibkan keadilan kepada semua.
 
Kisah lain, Khalifah Ali yang sedang berjalan di pasar, tiba-tiba melihat baju perisai kepunyaannya yang hilang, hendak dijual oleh seorang bukan Islam di pasar itu. 
 
Lalu Ali mengambilnya dan mengaku baju perisai itu miliknya yang hilang. Namun si penjual itu menegaskan baju perisai itu miliknya.
 
Kes itu dibawa di hadapan Hakim Syuraih al-Kindi. Syuraih meminta saksi daripada Ali. Apabila Ali tidak dapat membawa saksi, maka baju perisai itu diserahkan kepada yang dituduh.
 
Tiba-tiba, si penjual itu berkata: “Sesungguhnya, aku bersaksi bahawa inilah kehakiman para anbiya yang adil kerana seorang Amir al-Muminin (ketua negara yang berkuasa) mengadukan masalah ini kepada hakim untuk menghakiminya. 
 
"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya. Dan demi Allah baju perisai ini sememangnya kepunyaanmu, wahai Amir al-Muminin! 
 
"Aku mengambilnya ketika ia terjatuh dari unta apabila kamu wahai Khalifah mahu berangkat ke Siffin.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 8, Hlm. 5]
 
Kemudian, dia terus menyerahkan baju perisai tersebut kepada Ali, lalu mengucap dua kalimah syahadah.
 
Ali kemudian menghadiahkan baju perisai itu kepadanya dan mendoakan dia menjadi pejuang Islam yang berjihad dengan ikhlas.
 
Selanjutnya, kisah Sultan Muhammad al-Fatih yang memerintah Kerajaan Uthmaniyyah, yang disebut sebagai sebaik-baik sultan yang membebaskan kota Konstantinopel (Istanbul).
 
Sultan Muhammad menugaskan seorang arkitek berbangsa Rom (bukan Islam) kerana kemahirannya, agar membina sebuah masjid yang besar dan indah bertiangkan marmar mengikut ketinggian yang ditetapkan.
 
Tetapi masjid dibina itu tidak mengikut arahan, menyebabkan sultan sangat murka lalu arkitek itu dipotong tangannya. Namun, selepas itu, sultan sangat menyesal atas tindakan yang zalim itu.
 
Adapun arkitek itu membuat pengaduan kepada hakim Istanbul yang terkenal ketegasannya, Syeikh Sori Khadir Jalabi.
 
Hakim membuat keputusan bahawa sultan dijatuhkan hukuman qisas dipotong tangannya atau membayar diat. Cara hukumannya mengikut pilihan pendakwa.
 
Orang yang mendakwa tercengang dengan keputusan hakim, lalu memilih hukuman bayaran sara hidup kepadanya. Sultan Muhammad al-Fatih menggandakan bayaran lebih daripada keputusan hakim. (Kisah ini ada dinyatakan oleh Urkhan Muhammad ‘Ali dalam karyanya, Rawai‘ Min al-Tarikh al-‘Uthmaniy, Halaman 49-51)
 
Catatan di atas membuktikan kedudukan pemerintah adalah di bawah undang-undang. Ia membuktikan Islam mendahului negara demokrasi Barat dalam melaksanakan konsep pembahagian kuasa dan menegakkan keadilan.

No comments:

Post a Comment