Wednesday, 17 January 2018

Semak Rang Daftar Pemilih Tambahan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka pendaftaran dan menukar alamat pengundi sepnjang tahun. Bagaimanapun pendaftaran atau menukar alamat itu diproses untuk dimasukkan dalam senarai pemilih dibuat mengikut suku tahun iaitu sebanyak empat kali setahun.

Suku-suku tersebut ialah suku pertama melibatkan bulan Januari, Febuari dan Mac; suku kedua (April, Mei dan Jun); suku ketiga (Julai, Ogos dan September) dan suku keempat bagi bulan Oktober, November dan Disember.

Setiap berakhir suku, kebiasaanya pada bulan berikutnya SPR akan mengeluarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) untuk dipamerkan selama 14 hari. SPR akan mengumumkan tarikh mula dan akhir pameran itu. 

Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada suku sebelumnya dinasihatkan untuk menyemak.

Bagi permohonan pendaftaran baharu, pemohon yang mendapati namanya tidak tersenarai dalam Rang DPT itu boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan menyerahkan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT itu.

Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang DPT untuk suku yang dipamerkan di satu-satu bahagian pilihan raya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan Peraturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT suku yang dipamerkan.

Semasa tempoh pameran Rang DPT itu, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih kerana didapati tidak berhak untuk terus kekal dalam daftar pemilih atas sebab antaranya telah meninggal dunia, melepaskan atau dilucutkan hak kewarganegaraanya.

Pemohon boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar My SPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT suku yang sedang dipamerkan.

No comments:

Post a Comment