Inilah konsep positif yang ada dalam
masyarakat Melayu beragama Islam, sehingga sejahil-jahil kampung Melayu boleh
menerima kaum lain kalangan bukan Islam di tengah masyarakat Melayu.
Walaupun hanya satu keluarga dan sebuah
kedai runcit, bukan Melayu boleh hidup di tengah kampung padat Melayunya sejak
zaman berzaman.
Adapun yang menganut Islam pula
dianggapnya masuk Melayu, kerana inilah kesan ajaran Islam yang ada dalam diri
mereka, walaupun Islam itu adalah agama bukannya bangsa.
Bukan Melayu dan bukan Islam pula
sanggup bergaul dan bercakap Bahasa Melayu walaupun pelat tanpa nahunya tetapi
tetap bermesra dan bersaudara. Sehingga ada yang berbudaya Melayu walaupun
dikekalkan bangsa dan agamanya yang tidak Islam.
Ketika berlakunya Peristiwa 13 Mei
1969, negeri paling tenang dan aman adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan
Perlis. Negeri yang banyak pengajian Islam dan paling padat Melayunya.
Ini menunjukkan sejahil-jahil mereka
tetap memelihara adab yang diajarkan oleh Islam dan cara hidup bermasyarakat
majmuk terhadap penganut agama lain.
Al-Quran mendidik umat Islam bahawa
manusia adalah keluarga besar walaupun berbagai agama dan bangsa. Semuanya
daripada Adam dan Hawa.
Firman Allah: “Wahai umat manusia!
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan (Adam dan Hawa) dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
bersuku kaum supaya kamu bertaaruf (berkenal-kenalan dan saling berhajat antara
satu dengan yang lain mengikut konsep bermasyarakat majmuk dan madani).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya
di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan
kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)
Konsep hubungan kekeluargaan manusia
diwujudkan bersama konsep dakwah Islam kepada seluruh alam, tanpa paksaan
terhadap agama lain, dan mengekalkan bangsa dan budaya masing-masing yang
sinonim dengan makna Islam itu sendiri ialah menyerah diri secara ikhlas kepada
ajarannya.
Pendekatan cara paksaan adalah
membatalkan keikhlasan dan menimbulkan ketegangan. Walaupun wajib berdakwah
mengajak manusia semuanya kepada Islam, namun Islam konsisten mewajibkan adil dan
memberi hak terhadap semua kaum dan agama dalam masyarakat majmuk dan
masyarakat madani.
Adalah menjadi hak yang wajib kepada
penganut Islam yang menjadi masyarakat awal dan bersifat dominan dalam negara
ini, menegaskan Islam menjadi agama negara yang termaktub di dalam Perlembagaan
Persekutuan. Dalam masa yang sama diberi hak yang adil kepada agama lain yang
wajib diamalkan.
Inilah keputusan yang saksama di awal
kemerdekaan berasaskan persetujuan secara demokratik dalam Pilihan Raya Umum
Pra Kemerdekaan pada tahun 1955 yang melibatkan Parti Perikatan.
Ketegangan yang mencetuskan Peristiwa
13 Mei 1969 apabila adanya parti yang berlumba menjadi juara fanatik perkauman
sehingga mencetuskan ketegangan. Kini ada parti yang ingin meneruskan lagi cara
lama yang usang dan tidak patut diulang lagi.
Mereka bertahan dengan pengundi bukan
Islam tanpa menghormati sensitiviti umat Islam, cuba menghidupkan ketegangan
agama dan kaum, namun tanpa berpegang kepada apa-apa agama, tetapi menjadikan
Islam adalah sasarannya.
No comments:
Post a Comment