Sunday, 24 February 2019

KEBAKARAN HUTAN BANYAK BERPUNCA KECUAIAN MANUSIA


Kebakaran hutan mudah berlaku pada musim kemarau. Kebakaran hutan mudah merebak dan sukar untuk dikawal. Ia memusnahkan kawasan hutan yang luas dan habitat pelbagai spesis hidupan.

Usaha memadam kebakaran hutan sukar dilakukan kerana melibatkan kawasan yang luas, selain terletak jauh dari bekalan air untuk proses pemadaman.

Amat sukar jika ia melibatkan hutan di kawasan bukit yang tinggi. Khidmat bomba udara terpaksa digunakan yang pastinya melibatkan perbelanjaan dan resiko yang tinggi.  

Kebanyakan kes kebakaran hutan berlaku disebabkan kecuaian manusia. Aktiviti membersihkan tapak pertanian antara punca berlaku kebakaran hutan.

Ada juga kes kebakaran hutan disebabkan aktiviti perkemahan yang mana peserta menyalakan api untuk memasak ataupun membuat unggun api. Mereka tidak memadamkan api itu sepenuhnya sebelum meninggalkan tapak perkemahan.

Punca lain kebakaran hutan disebabkan perbuatan manusia ialah membuang putung rokok yang masih menyala. Biarpun bermula dengan api yang kecil, ia merebak sehingga menjadi satu tragedi yang besar.

Berhati-hati agar kes kebakaran hutan dapat dicegah untuk mengelak bencana yang besar.

No comments:

Post a Comment