Sesungguhnya, kita ditegah sama sekali mencari keburukan orang lain untuk
kebaikan diri sendiri. Sekiranya inginkan sesuatu, hendaklah dilakukan melalui
usaha sendiri dan dengan secara yang dibenarkan syariat.
Firman Allah bermaksud: “Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain
dan janganlah ada sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain.
Sukakah seseorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentulah kamu
berasa jijik. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima
taubat dan Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat, ayat 12).
Sekiranya kita ingin melakukan sesuatu, lihat dalam diri sendiri mencari
kekuatan dan kelemahan diri. Rasulullah bersabda bermaksud: “Beruntunglah orang
yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban diri sendiri.” (Hadis riwayat
Muslim).
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa
fitnah tidak diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnahkan
memberi keampunan. Dapat kita fikirkan betapa sukarnya menemui setiap orang
yang difitnah bagi memohon maaf.
Fikirkan, betapa besarnya dosa jika fitnah itu ditujukan kepada kelompok
orang ramai yang tidak mampu ditemui setiap orang untuk memohon
maaf.
Dosa membuat fitnah menghalang seseorang daripada memasuki syurga. Sabda
Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang menyebarkan fitnah dibangkitkan di akhirat di mana dirinya akan
diberikan malu oleh Allah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang
menyebarkan satu kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak
sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari
kiamat” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya dari Abu Zar).
No comments:
Post a Comment