Islam
mengajar cara yang benar dan berhikmah untuk menyelesaikan apa-apa masalah yang
berkaitan kepentingan umat Islam. Cara demikian akan meletakkan Islam pada
kedudukan yang lebih dihormati dan menarik minat orang bukan Islam kepada
ajaran Islam.
Sebagai
umat Islam kita perlu mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dalam
setiap perkara. Contohilah bagaimana Nabi Muhammad sentiasa bersabar dalam
melaksanakan tugas menyebar agama tauhid.
Ketika
Rasulullah menyebarkan Islam di Makkah selama 13 tahun, pelbagai halangan
dihadapi penuh kesabaran. Baginda tidak bertindak balas secara ekstrem terhadap
orang yang memusuhi baginda.
Rasulullah
lebih mementingkan kebijaksanaan, bersabar dan memohon pertolongan Allah ketika
berdepan dengan sebarang masalah ketika menjalankan tugas menyebarkan agama
Islam.
Cara
yang dilakukan oleh Rasulullah itu ternyata membuahkan hasil yang cemerlang
berjaya menarik minat bukan Islam mengucap kalimah syahadat.
Pengaruh
ajaran Islam tersebar secara meluas dengan cepat setelah bertapak dan
disebarkan di Madinah. Kejayaan itu dicapai berkat kesabaran, kebenaran dan
kebijaksanaan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad ketika berdepan dengan
musuh.
Bukti
terbaik menggambar Islam mementingkan kedamaian ialah sejarah pembukaan Kota
Makkah. Nabi Muhammad tidak sekali-kali menggunakan kekerasan ketika berjaya
menawan kota Makkah.
Biarpun
berkuasa penuh ke atas setiap jiwa penduduk Makkah ketika itu yang layaknya
dipanggil tawanan perang, Nabi Muhammad melakukan sesuatu yang tidak pernah
diduga oleh penduduk Makkah ketika itu.
Dengan
penuh kasih sayang dan kemaafan, Nabi Muhammad memberi keampunan dan kebebasan
terhadap seluruh penduduk kota Makkah, termasuk kepada individu yang pernah
memusuhi dan ingin membunuh baginda.
Umat
Islam perlu memulih kembali imej Islam yang sentiasa dikaitkan dengan keganasan
dan ekstrem. Selain melakukan tindakan ekstrem terhadap bukan Islam, umat Islam
juga sering bermusuhan sesama sendiri yang berlarut sehingga berbunuh-bunuhan.
Tindakan
bermusuhan sesama Islam amat merugikan umat Islam. Bilangan orang Islam yang
menjadi mangsa keganasan orang Islam sendiri lebih banyak berbanding disebabkan
bukan Islam.
Kejadian
ini berlaku disebabkan pihak yang terlibat merasakan halal berbunuhan sesama
Islam atas dasar memperjuangan Islam. Jelas sekali keadaan yang berlaku adalah
sebaliknya. Kedudukan umat Islam di negara yang orang Islam bermusuhan sesama
sendiri berada dalam keadaan amat lemah.
Musuh
Islam sentiasa menanti peluang untuk melaga-lagakan sesama Islam supaya umat
Islam sentiasa dalam keadaan lemah. Keadaan ini memudahkan untuk musuh Islam
menguasai negara Islam yang sedang bergelolak.
Jelaslah,
perbuatan ekstrem dan permusuhan mendatangkan banyak
keburukan. Sesiapa atau kumpulan yang melakukan tindakan itu tidak
wajar mendakwa dia melaksanakan jihad kerana ia sebenarnya ditegah daripada
dilakukan.
No comments:
Post a Comment