Saturday, 23 February 2019

GILA JAWATAN DALAM PERSATUAN


Mengapa orang begitu lapar jawatan pemimpin? Banyak persatuan ditubuhkan semata-mata untuk membolehkan seseorang bergelar pemimpin. Sedangkan hakikatnya tidak ada apa yang dilakukan terhadap persatuan. 

Memandangkan setiap penubuhan persatuan mesti berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan ada syarat yang ditetapkan, maka syarat-syarat yang berkaitan sahaja yang dipatuhi. Contohnya dalam soal jumlah minima keahlian dan mesyuarat agung tahunan. 

Orang lapar jawatan tidak kisah berapa ahli persatuan yang dipimpinnya. Kalau boleh, tidak perlu ada ahli, asalkan dia kekal memegang jawatan pemimpin.

Memandangkan setiap persatuan dimestikan ada ahli, maka individu yang dijemput atau didaftarkan sebagai ahli adalah terdiri mereka yang difikirkan tidak akan merebut jawatan ketua.

Dalam soal mesyuarat agung dan pemilihan barisan kepimpinan, ada persatuan yang sekadar mengadakan di atas kertas. Laporan minit mesyuarat dan barisan kepimpinan persatuan dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan bagi mengelak persatuan dimansuhkan. 

Jika ada ahli yang tidak puas hati, tidak ada apa yang mampu dilakukan. Hendak panggil mesyuarat agung tergempar, berapa kerat ahli yang akan hadir, kerana sememangnya senarai nama ahli yang ada sekadar atas kertas. Secara fizikalnya ahli tinggal di merata tempat dan setengahnya tidak tahupun namanya didaftarkan sebagai ahli.

Jika ahli yang tidak puas hati itu nama bergelar pemimpin juga, satu cara yang dilakukan ialah tubuhlah persatuan lain. Carilah kumpulan yang sama sealiran dengan mereka.

Sebab itu ada banyak persatuan yang sama fungsi di dalam sesuatu negeri dan daerah. Sedangkan sebenarnya semuannya tidak aktif dan sekadar gah pada namanya.

Tetapi orang sanggup bermatian-matian merebut jawatan pertubuhan yang telah mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat. Perebuatan jawatan persatuan kadangkala terpaksa melibatkan campurtangan atau lebih manis lagi disebut nasihat daripada perdana menteri atau menteri yang berkaitan.

Menyandang jawatan dalam pertubuhan besar melambangkan keduduakan yang tinggi di mata masyarakat.  Inilah dikatakan jawatan dalam persatuan dijadikan platform untuk mencipta nama dalam bidang lain, khususnya berkaitan politik. 

Jika ditubuhkan persatuan baru, tentulah kedudukannya sebagai pemimpin tidak gah seperti jawatan di persatuan yang telah terkenal. Tetapi demi mencapai matlamat menjadi pemimpin, persatuan baru tetap ditubuhkan. 

Penyakit ini sebenarnya ditiru daripada perangai orang politik. Lihatlah berapa banyak parti politik di negara kita. Penubuhan parti politik baru bukan disebabkan parti yang sedia ada tidak lagi membuka keahlian baru. 

Sebaliknya, yang menubuhkan parti politik baru itu kerana hendak jadi pemimpin, tidak kiralah yang tertinggi, jawatankuasa ataupun di peringkat cawangan.

Sindroum ini sudah lama bertapak dalam sejarah politik negara sejak sebelum merdeka lagi. Jika diteliti sejarah penubuhan sesuatu parti politik di negara kita, ia mempunyai kaitan dengan parti politik sedia ada.

Kerja gila jawatan ini perlu diubah. Sepatutnya kita kena tingkatkan budaya gila berkerja dalam berpersatuan. Tidak kisahlah jika tidak ada jawatanpun. Jika benar-benar ikhlas berpersatuan, tentu ada peluang dilantik menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan.

Dalam mana-mana organisasi, perlembagaan memberi ruang untuk mengubah kepimpinan. Tidak ada persatuan yang perlembagaannya mengatakan seorang ketua mesti menjadi ketua selama-lamanya. 

Sertailah persatuan dengan tujuan ikhlas untuk kebaikan semua ahli dan masyarakat. Hapuskan kepentingan peribadi. Jika benar-benar ingin berpolitik, sertailah parti politik dan berpolitiklah sepuas-puasnya. Jangan jadikan persatuan sebagai mangsa sikap gila berpolitik.

No comments:

Post a Comment