Tuesday, 26 February 2019

MELANCONG BUKAN SEKADAR BERHIBUR

Melancong bukan sekadar ingin berhibur dan melakukan sesuatu yang memenuhi hawa nafsu. Sesiapa melancong hanya semata-mata itu tujuan itu, tidak akan mendapat manfaat di sebalik suruhan agama.

Bahkan, keriangan yang diiringi dengan perbuatan maksiat menjadikan aktiviti melancong sedemikian haram dan amat dimurkai Allah.

Ketika melancong hendaklah menjaga nilai-nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan diri daripada terjebak dengan aktiviti tidak baik di tempat orang yang sekali gus akan melambangkan sikap yang sama di negara sendiri.

Aktiviti pelancongan yang melibatkan perbuatan haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri mereka yang ingkar perintah Allah.

Firman Allah bermaksud: “Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.” - (Surah Ali Imran, ayat 112)

Malang sekali ada individu melancong memilih tempat maksiat seperti pusat perjudian, syurga seks, pusat hiburan dan sebagainya yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Mereka memilih tempat itu di luar negara disebabkan ia diharamkan di negara kita. Golongan itu menjadikan wang ringgit untuk menambahkan dosa dan bukannya mencari keredaan Allah.

Ketika melancong, sudah tentu apa yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa menjadikan seluruh dunia itu tidak sama dari segi bentuk muka bumi, iklim, tumbuh-tumbuhan, hidupan dan kehidupan masyarakatnya.

Apa yang berlaku di negara luar ada yang langsung tidak berlaku di negara kita seperti berlakunya musim salji, bunga, luruh dan panas. Ia berkaitan dengan musim pengedaran bumi mengelilingi mata hari dalam tempoh masa setahun.  

Bahagian tertentu bumi, ada masa siangnya berbulan-bulan lamanya dan pada masa lain pula malamnya berlangsung berbulan-bulan.

Semua ini menuntut kita agar berfikir dan dijadikan satu cara untuk muhasabah diri apakah selama ini kita menghargai setiap cipaan Allah. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik yang menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat dari sudut keimanan.

Dalam soal memajukan industri pelancongan tempatan pula, perkara yang perlu ditekankan ialah mempamerkan budaya dan cara hidup masyarakat setempat yang berlandaskan ciri-ciri sebuah negara Islam.

Sebenarnya, pelancong asing yang memilih Malaysia sebagai destinasi ingin menikmati pengalaman yang berbeza dengan apa ditawarkan di tempat lain.

Jika mereka ingin menikmati hiburan, perjudian dan pelacuran, tentunya mereka memilih tempat lain. Aktiviti itu sememangnya telah ditawarkan di kebanyakan negara Barat dan bukan Islam.

Rebutlah peluang untuk melakukan kebaikan dalam apa jua perkara yang dilakukan, termasuk aktiviti melancong. 

No comments:

Post a Comment