Saturday 5 October 2019

LARANGAN TINGGAL KELUARGA DALAM KEADAAN MELARAT

Islam memerintahkan memerhatikan keluarga (ahli waris) yang akan ditinggalkan, supaya mereka jangan sampai hidup melarat yang menadahkan tangan kepada manusia.

Kita perhatikan sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesungguhnya engkau tinggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya (cukup) lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka hidup melarat/miskin yang menadahkan tangan-tangan mereka kepada manusia (meminta-minta)”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Bahkan Islam mencela kalau ada seorang mukmin yang hidup dalam keadaan cukup sedangkan tetangganya kelaparan dan dia tidak membantunya.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Bukanlah orang yang mukmin itu yang (hidup) kenyang, sedangkan tetangganya (hidup) lapar di sebelahnya”. (Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah SAW memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada hidup dalam kefakiran dan kelaparan. Dari Aisyah (dia berkata): "Bahawa Rasulullah SAW biasa berdoa dengan doa-doa ini:

“Ya Allah, sesungguh-nya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah neraka dan azab neraka, dan daripada fitnah kubur dan azab kubur, dan daripada kejahatan fitnah kekayaan, dan daripada kejahatan fitnah kefakiran.” (Hadis riwayat Bukhari)

Islam tidak menjadi musuh kekayaan asalkan si kaya seorang yang bertaqwa. Bahkan dengan kekayaan itu seorang dapat memperoleh ganjaran yang besar dan darjat yang tinggi seperti berjihad dengan harta sebagaimana yang Allah perintahkan, menunaikan zakat harta, sedekah, ibadah haji, mendirikan masjid, membantu anak yatim dan mereka yang memerlukankan pertolongan.

Rasulullah SAW pernah mendoakan Anas bin Malik yang bermaksud: "Ya Allah! Banyakkan hartanya dan anak-anaknya serta berikanlah keberkatan apa yang Engkau telah berikan kepadanya”. (Hadis riwayat Bukhari).

Berdasarkan hadis tersebut bahawa harta itu adalah salah satu nikmat Allah SWT. Banyak harta itu tidak tercela atau mengurangi ibadahnya, asalkan dia memang seorang yang bertaqwa.

No comments:

Post a Comment