Wednesday 2 October 2019

SYARAT DOA DIMAKBUL

Prasyarat utama yang ditekankan untuk kemakbulan adalah keimanan dan tauhid yang murni kepada-Nya. Untuk sesuatu doa itu dimakbulkan, terdapat rukun dan syarat yang perlu dipatuhi.

Di samping itu, wajar untuk kita fahami bahawa sifir doa itu tidak boleh difahami “Jika seorang hamba berdoa memohon A, Allah pasti akan beri A.”.

Ini bersalahan dengan kefahaman yang sebenar sebagaimana yang disebutkan daripada Abu Said al-Khudri meriwayatkan Nabi SAW bersabda:

"Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut:
- Akan disegerakan doanya,
- Ditangguhkan ke hari akhirat,
- Dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa. 

Para sahabat bertanya: Oleh itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Pemberian Allah lebih banyak!” (Hadis riwayat Ahmad, no. 11133)

Inilah bukti betapa Maha Pemurah, Maha Pengasih serta Maha Bijaksana Allah SWT yang mengetahui apa jua yang terbaik buat diri hamba-Nya. Boleh jadi apa yang kita minta, tidak baik buat diri kita. Boleh jadi apa yang kita benci, itulah yang terbaik buat diri kita.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”  (Surah al-Baqarah: 216)

Selain daripada itu, anggapan bahawa Allah akan memberi apa jua yang kita kehendaki adalah tidak tepat.

Pepatah Arab ada menyebut bermaksud: “Saya menginginkan, kamu juga menginginkan, akan tetapi Allah SWT jualah yang melakukan apa yang Dia inginkan.”

No comments:

Post a Comment