Monday, 2 October 2017

Cegah penyakit merebak

Penularan wabak penyakit perlu dilakukan dengan mengambil beberapa langkah. Hal ini telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW. Apa disabdakan Baginda satu perkara tepat dan amat bermanfaat untuk mengawal penyakit.  

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika kamu dengar berita sesuatu wabak taun berlaku di sesuatu tempat, maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sudah berlaku di tempat kamu maka jangalah kamu keluar daripadanya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Maksud hadis itu jelas menekankan kepada aspek pencegahan kawalan penyakit daripada merebak.  Penyakit taun memang dikenali antara penyakit yang mudah merebak melalui penyebaran kuman e-colai yang tersebar melalui najis pesakit serta lelahan dari badan. 

Penyakit ini sukar dikawal dan boleh membawa maut dalam masa beberapa hari kepada pesakitnya jika tidak dirawat segera.  Untuk mengelak dari penyakit ini tersebar ialah dengan menahan pesakitnya agar tidak bergerak dari satu tempat ke tempat lain yang akan membawa bersama kuman tersebut.  

Begitu juga, orang yang tidak dijangkiti berjangkit dilarang berhubungan atau berada bersama dengan pesakit. Orang yang tinggal bersama pesakit biarpun belum disahkan dijangkiti turut dinasihatkan tidak keluar ke tempat lain kerana dikhuatiri mereka sebenarnya telah dijangkiti tanpa ada kesan awal dapat dikesan.

Jelas sekali, apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW adalah kaedah tepat bagaimana hendak mengawal penyakit daripada merebak.  Kemasukan individu yang mengidap penyakit ke sesuatu tempat menjadi punca kepada penyebaran penyakit.

Negara kita mengalami masalah penyebaran penyakit terutama oleh pendatang asing dari luar negara, khususnya PATI yang menyebarkan penyakit tertentu.  Begitu juga kerajaan melarang rakyat kita ke luar negara jika di situ ada masalah penyebaran penyakit, seperti penyakit berkaitan unta yang melanda di negara Timur Tengah sehingga banyak visa menunaikan umrah tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Jelas sekali bahawa apa yang diperkatakan oleh Rasulullah SAW adalah perkara yang benar dan diakui melalui perubatan moden hari ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuannya dan pendapatnya sendiri.  Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah an-Najm, ayat 2-4)

No comments:

Post a Comment