Saturday 22 September 2018

PENGKALAN PETAH SEMAKIN TERKENAL.

Di Kelantan, nama Tok Bali sudah terkenal sebagai pusat pendaratan ikan terbesar. Malah, nama ikan Tok Bali begitu sinonim dengan rakyat Kelantan sebagai tanda ia bekalan ikan segar.

Namun tidak ramai yang sedar, selain pelabuhan perikanan Tok Bali, Pengkalan Petah juga adalah pusat pendaratan ikan utama di Kelantan. Sebenarnya, sebahagian besar bekalan ikan segar di Kota Bharu diambil dari pusat pendaratan ikan di Pengkalan Petah, kerana ia lebih dekat dari Kota Bharu.

Pengkalan Petah terletak di mukim Tawang, Bachok. Lokasi dijadikan tempat pendaratan ikan sekarang sebenarnya sebahagian daripada kawasan yang dicadangkan untuk membina pelabuhan komersial di Kelantan. 

Bagaimanapun, cadangan itu tidak diteruskan disebabkan tidak sesuai dari segi geografi dan pengaruh cuaca di mana kawasan itu mengalami kesan musim tengkujuh yang mungkin menganggu operasi pelabuhan. 

Pengkalan Petah sesuai dijadikan pusat pendaratan ikan kerana terdapatnya benteng pemencah ombak dan sungai yang didalamkan. Bot dan perahu nelayan, termasuk kapal nelayan laut dalam yang lebih besar dapat memasuki Sungai Kemasin dan seterusnya mendaratkan ikan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Kuala Kemasin juga tidak mengalami masalah muara cetek yang disebabkan oleh timbunan pasir sehingga menyukarkan kapal besar memasuki muara. Masalah muara cetek kerap berlaku di muara Sungai Kelantan untuk mendaratkan ikan di jeti LKIM Kuala Besar. Masalah timbunan pasir di muara Sungai Kelantan berlaku akibat pasir yang dihanyutkan dari hulu sungai pada setiap kali musim banjir.   

Pusat pendaratan ikan di Pengkalan Petah memberi kemudahan kepada nelayan di jajahan Bachok dan Kota Bharu. Ia dapat mengurangkan kesesakan di pusat pendaratan ikan di Tok Bali dan Kuala Besar.  

Pemandangan deretan bot nelayan berlabuh menjadi tarikan dan perhatian mereka yang melalui kawasan tersebut, termasuk di kalangan pelancong asing. Kerap pelancong asing berhenti sekejap di situ untuk merakamkan gambar kenangan. 

No comments:

Post a Comment