Wednesday 19 September 2018

SEJARAH BUKIT FRASER

Negara kita mempunyai banyak pusat peranginan tanah tinggi. Salah satu yang cukup terkenal ialah Bukit Fraser. Bukit Fraser terletak di negeri Pahang. 

Sejarah pembukaan pusat peranginan tanah tinggi di negara kita dimulakan oleh pihak Inggeris. Ketika itu negara kita masih dijajah oleh Inggeris. 

Pemilihan kawasan tanah tinggi disebabkan suhunya sederhana sejuk yang amat digemari oleh orang Inggeris. Keadaan tersebut mengingatkan orang Inggeris kepada negara asal mereka. Selain itu keadaan di tanah tinggi damai dan memberi ketenangan. 

Nama Bukit Fraser diabdikan dari nama seorang tokoh perniagaan dan pengembara Inggeris, Louis James Fraser. Fraser menjalankan perniagaan pembelian bijih timah yang dilombong di kawasan Banjaran Titiwangsa pada sekitar antara tahun 1880. 

Fraser kerap menggunakan laluan Kuala Kubu di Selangor melintasi Banjaran Titiwangsa menghubungkan Tras di Pahang untuk mengangkut hasil perdagangan menggunakan kumpulan keldai. Laluan itu berhampiran dengan Bukit Fraser sekarang. 

Bagaimanapun, satu hari Fraser hilang tanpa dapat dikesan. Tiada siapa tahu bila, di mana dan mengapa Fraser tidak ditemui oleh sesiapa pun selepas itu. 

Pada tahun 1917, paderi C.J. Ferguson Davie dan paderi A.B Champion telah bercuti dan menginap di rumah rehat di Gap (tempat sempadan memisahkan Selangor dan Pahang). 

Tujuan mereka ke sana antara lain bertujuan untuk meninjau tapak baru bagi membina banglo percutian bagi masyarakat Eropah yang kian bertambah di rantau Asia Tenggara.

Kedua-dua paderi itu kembali ke Singapura dan mengemukakan laporan kepada pihak pentadbiran Inggeris. Laporan tersebut antara lain menyebut: “Lebih kurang 5 batu daripada Gap yang terletak di antara laluan denai Selangor - Pahang (Kuala Kubu - Tras), terdapat satu kawasan bukit yang sesuai dijadikan kawasan peranginan yang boleh dimajukan dengan cepat, mudah dan murah.”

Pihak Inggeris mengambil langkah serta-merta membuat tinjauan teliti tentang potensi kawasan yang dimaksudkan oleh kedua-dua paderi itu. Kerja-kerja topografi dan pengukuran kawasan berkenaan selesai dalam tempoh setahun.

Sejurus selepas itu kerja-kerja pembangunan terus dilakukan. Pada tahun 1925, Bukit Fraser mula dibuka untuk kunjungan orang ramai secara rasmi oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya, Sir George Maxwell.

Ketika majlis perasmian tersebut, Maxwell antara lain menyebut: “Bukit Fraser akan sentiasa menjadi sebuah pusat peranginan yang indah dan menarik di Malaya, dan saya yakin beberapa tahun yang akan datang kita akan lihat beberapa kemajuan dalam pembinaan bangunan-bangunan di sana.”

Apa yang disebut oleh Maxwell itu menjadi kenyataan. Kini Bukit Fraser adalah salah satu destinasi percutian tanah tinggi terkenal di negara kita. Selain keindahan alam semula jadi, Bukit Fraser terkenal dengan reka bentuk bangunan ala Scotland dan Inggeris yang masih kekal sehingga sekarang. 

Pengunjung dari pantai barat boleh menggunakan laluan dari Kuala Kubu Baru, Selangor untuk menuju ke Bukit Fraser. Manakala pengunjung dari pantai timur pula boleh menggunakan laluan dari Tras, Pahang.  

Sebelum terus ke Bukit Fraser, pengunjung akan menemui Gap (sempadan Selangor - Pahang). Dari Gap itu ke Bukit Fraser kira-kira 9 km. Pada masa dahulu, laluan dari Gap ke Bukit Fraser hanya sehala. 

Jadi, kenderaan hanya dibenarkan naik atau turun mengikut masa ditetapkan.  Tempoh untuk mendaki ialah jam angka ganjil. Manakala untuk turun ke Gap pula mengikut jam genap.  Ada pengawal bertugas bagi memastikan pengunjung mematuhi masa ditetapkan. 

Kini tak perlu tunggu giliran sebab naik guna laluan lain, turun pun akan guna laluan sehala yang lain. Kau nak turun jangan salah jalan. Naik jalan lain, turun pun jalan lain. Papan tanda banyak dan jelas. Jadi tidak mungkin salah laluan, melainkan saja-saja nak buat keliru.

1 comment: