Thursday 20 September 2018

LATA ISKANDAR TAPAH GAMIT PENGUNJUNG

Antara tempat yang sering menjadi tumpuan ramai ialah air terjun atau lata. Selain keindahan pemandangan air terjun, tarikan lain yang menggamit pengunjung ke lata ialah keindahan alam semula jadi dan suasana damai. 

Kita juga dapat menghayati kejadian alam, dan merasakan betapa agung ciptaan Allah. Air yang mengalir tidak berkurangan biarpun telah lama mengalir terjun dari tempat yang tinggi.

Antara lata yang cukup terkenal di Perak, bahkan di negara kita ialah Lata Iskandar, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan Tapah, Perak. Lata Iskandar adalah antara air terjun kategori tinggi, yakni melebihi 100 meter. 

Keindahan air terjun dari kedudukan yang tinggi mengalir dan menjunam ke atas batu keras yang dapat dilihat dari kedudukan jauh adalah satu panorama indah di Lata Iskandar. Air terjun itu membentuk jalur air yang panjang dan lebih menarik apabila terbentuk percikan air yang menimpa batu bertingkat-tingkat.

Kedudukannya hanya kira-kira 100 meter dari Jalan raya Tapah - Camerons Highland memberi satu lagi kelebihan kepada Lata Iskandar yang menjadi tumpuan ramai setiap hari, lebih-lebih lagi pada hari cuti umum.

Pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu pasti tidak melepas peluang menikmati pemandangan itu. Bahkan, ramai yang tidak merasai kepuasan sekiranya sekadar melintasi, mengambil keputusan untuk berhenti sekejap untuk menikmati suasana di situ dalam tempoh masa yang lebih lama. Tindakan itu lebih-lebih lagi dilakukan oleh mereka yang kali pertama kali melalui kawasan itu. Rugi rasanya jika tidak singgah di tempat yang menarik itu.

Ramai pengguna jalan raya yang menjadikan Lata Iskandar sebagai lokasi tetap berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan sama ada menuju ke Camerons Highlands atau sebaliknya. 

Selain menikmati keindahan air terjun dan pemandangan hutan yang menghijau, pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai barang berbentuk cenderamata dan perhiasan yang dijual di gerai berhampiran tempat itu. Perhiasan dalam bentuk pasu dan seramik yang cantik banyak dijual dengan harga yang berpatutan. 

Hasil-hasil kraf tangan di sini bermutu tinggi terutamanya hasil-hasil kraf tangan oleh Orang Asli. Deretan gerai-gerai yang menyediakan minuman dan makanan ringan juga telah didirikan berhampiran kawasan air terjun untuk keselesaan orang ramai yang singgah untuk menikmati keindahan Lata Iskandar.

Terdapat juga kedai seni kreatif di sini seperti ukiran dan lain-lain. Setiap ukiran yang dipertontonkan membuahkan makna tersendiri. Warna dan coraknya masih mengekalkan keaslian yang artistik dan tidak kurang menariknya apabila labu yang diukir boleh dijadikan untuk pelbagai fungsi.

Turut dijual disini ialah herba serta akar-akar kayu seperti tongkat ali, kacip fatimah dan lain-lain lagi untuk tujuan perubatan dan penjagaan kesihatan.

Pengunjung yang singgah di Lata Iskandar dinasihatkan berhati-hati dan meletakkan kenderaan di tempat dikhaskan bagi mengelak kejadian tidak diingini.  Kawasan itu agak sesak dan sempit kerana kedudukannya di lereng bukit.  

Lata Iskandar merupakan salah sebuah kawasan rekreasi air terjun yang menarik dengan alam semula jadinya yang mengagumkan. Air terjun ini mempunyai kolam-kolam takungan di setiap hujung barisnya, menyediakan satu tempat mandi yang sesuai untuk seisi keluarga.

Pengunjung boleh mengambil peluang untuk bermandi-manda di dalam airnya yang sejuk dan segar, yang terbit dari kawasan pergunungan. Bagi pencinta alam pula, sedikit masa yang diluang melalui denai-denai hutan yang telah disediakan akan membawa anda kepada keseronokan dan kekayaan flora dan fauna di sekeliling air terjun tersebut.

Kawasan Air Terjun Lata Iskandar berada di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Perak Daerah Batang Padang.

No comments:

Post a Comment