Jika disebut keropok lekor sudah
pasti terbayang asalnya dari Terengganu. Keropok lekor terkenal dan menjadi
identiti Terengganu. Jadi perkataan keropok lekor sudah senonin dan tidak dapat
dipisahkan dengan Terengganu.
Keropok lekor diperbuat daripada isi
ikan yang diadun dengan tepung kanji. Cara membuatnya tidak banyak bezanya
dengan membuat keropok keping kecuali kandungan isi ikan lebih banyak.
Tempat paling terkenal pengeluar
keropok lekor ialah di Losong berhampiran Kuala Terengganu. Nama Losong sering
dikaitkan dengan keropok lekor sehingga ramai pengusaha di tempat lain turut
menggunakan nama Losong seperti mana pengusaha satay menamakan Satay Kajang
biarpun beroperasi di luar Kajang.
Disebabkan keropok lekor terkenal
menjadikannya satu tarikan kepada sesiapa datang ke Kuala Terengganu untuk
mencubanya. Justeru itu keropok lekor sering dijadikan buah tangan pengunjung
setiap kali datang ke Kuala Terengganu.
Keropok lekor dibeli yang digoreng
atau direbus sahaja. Jika ingin dibawa pulang elok dibeli yang direbus sahaja. Keropok
lekor boleh disimpan beberapa hari jika disimpan dengan elok di dalam peti
sejuk dan digoreng sebelum dimakan.
Sebenarnya keropok lekor boleh
dimakan tanpa perlu digoreng kerana telah masak sepenuhnya ketika direbus.
Bagaimanapun ramai lebih berminat memakannya yang digoreng bersama pencicah
sebagai hidangan ringan minum petang maupun waktu lain.
Kepopularan keropok lekor mampu menjadi satu daya tarikan pelancong ke
Kuala Terengganu khasnya dan Terengganu amnya.
No comments:
Post a Comment