Wednesday 19 September 2018

KEBAIKAN MENGEMBARA

Sesungguhnya mengembara boleh dijadikan sebagai cara pengukuhan iman dan takwa yang mana banyak pengajaran berkaitan perkara baik dan buruk yang dapat dilalui atau diperhatian semasa melancong. 

Jelas sekali tujuan mengembara yang dianjurkan Islam ialah supaya digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. Minda pengembara hendaklah dibuka dan berdoa agar Allah memberi hidayah dan kebaikan daripada aktiviti melancong itu. 

Walaupun melancong lebih bersifat santai, tetapi tidaklah sampai tidak memikirkan apa-apa. Dalam bersantai, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika melancong. 

Sesiapa tidak dapat merasai sebarang minat terhadap sesuatu pemandangan atau keadaan sehingga terbuka minda dan merasai kehebatan ciptaan Allah, itulah tanda hatinya telah mati dan minda menjadi tertutup. 

Mengembara bukan sekadar ingin berhibur. Sesiapa mengembara hanya semata-mata mencari keriangan, tidak akan mendapat manfaat di sebalik suruhan agama. Bahkan, keriangan yang diiringi dengan perbuatan maksiat menjadikan aktiviti mengembara sedemikian haram dan amat dimurkai Allah.

Ketika mengembara hendaklah menjaga nilai-nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan diri daripada terjebak dengan aktiviti tidak baik di tempat orang. Aktiviti pengembaraan yang melibatkan perbuatan haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri mereka yang ingkar perintah Allah.

Ketika melancong, sudah tentu apa yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa menjadikan seluruh dunia itu tidak sama dari segi bentuk muka bumi, iklim, tumbuh-tumbuhan, hidupan dan kehidupan masyarakatnya.   

Allah menyuruh agar kita melihat setiap ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik yang menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat dari sudut keimanan. Orang beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan. 

Firman Allah bermaksud: “Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? - (Surah al-Mulk, ayat 3)

Pengembara seharusnya menggunakan kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan agar dapat dilakukan atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan agar mendapat sesuatu pengetahuan dan pengalaman di tempat lain yang kemudiannya dapat dimanfaatkan di tempat sendiri.

Falsafah ini dapat difahami dari maksud hadis Rasulullah yang menyuruh manusia menuntut ilmu walau di mana saja. Semakin jauh kita mengembara, semakin banyak ilmu dan pengalaman dapat dikutip. Seperti kata pepatah, jauh perjalanan luas pengetahuan. 

Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad pernah menyuruh para sahabat mengembara dan meninjau keadaan di Habsyah dan beberapa tempat lain untuk mencari peluang untuk Islam bertapak dan berkembang di situ. 

Mengembara juga harus digunakan untuk meluaskan peluang perniagaan. Nabi Muhammad pernah mengembara berniaga dari satu tempat ke satu tempat. Apa yang dilakukan Rasulullah membuktikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan perlulah memperluaskan kawasan pasaran keseluruh dunia.  

Sejarah mencatatkan antara punca kejayaan pedagang Arab berjaya dalam bidang perniagaan ialah sikap suka mengembara memasarkan barang dagangan mereka. 
 
Pedagang Arab berniaga sehingga ke seluruh Nusantara dan Benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam disebarkan.

Semasa melancong juga memberi kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat  yang berlaku di tempat orang yang masih dalam kemunduran. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama sendiri. Masalah jenayah berlaku dengan berleluasa.

Apa yang dilihat itu dapat memberi pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri.  Kita akan merasa bersyukur dapat hidup di negara kita yang aman damai ini berbanding apa yang berlaku di negara lain. Perkara ini dijelaskan oleh Allah mengenai nasib golongan yang membelakangkan perintah-Nya. 

Firman Allah bermaksud: “Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.” - (Surah al-Anam, ayat 11). 
 
Manakala firman Allah dalam surah an-Naml ayat 69 bermaksud: “Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang-orang yang berdosa.”

Kita perlu insaf mempelajari setiap apa yang dapat dipelajari sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan tentang setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi apa yang ditetapkan ajaran agama.    

Dengan kata lain, melancong adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebab itu kita sering mendengar pakej pelancongan sambil belajar atau sekarang ini ada yang menyebut belajar sambil melancong. Ini membuktikan tujuan mencari ilmu atau belajar lebih diutamakan dalam pakej melancong itu.

No comments:

Post a Comment