Tuesday 18 September 2018

LATA PAYONG GUNUNG SARUT KERAP BERLAKU HUJAN BUKIT

Gunung Sarut merupakan gunung tertinggi di daerah Setiu, Terenganu dengan ketinggian 1229 meter dari paras laut. Terletak dalam Hutan Simpan Hulu Nerus. Kategori Hutan Dipterokarpa Bukit.  
 
Gunung Sarut sebenarnya lokasi pendakian gunung yang baru mendapat perhatian di kalangan pencinta pendaki gunung atau hiking tegar.

Gunung Sarut dibuka atau laluan trek dirintis pada 10 Feb 2017 dengan kerjasama Persatuan Terengganu Backpackers. 
 
Pembukaan trek Gunung Sarut memudahkan untuk orang awam mendakinya. Bagaimanapun dipercayai Gunung Sarut telah lama didaki oleh pencari hasil hutan kerana laluan di permatang seperti pernah digunakan atau menjadi laluan.  

Gunung Sarut ada dua puncak iaitu Puncak Sarut dan Puncak Lipak. Pendaki biasanya hanya menetapkan pendakian untuk sampai ke Puncak Sarut.

Tempat permulaan mendaki Gunung Sarut ialah di Lata Payong. Dari jalan besar nak masuk ke Lata Payong mengambil masa 1 jam 15 minit atau kira-kira dalam 25 kilometer dari pekan Seri Langkap.

Bermula dari Lata Payong, pendaki akan melalui jambatan gantung yang menghubungkan dengan pintu masuk ke trek Gunung Sarut. 
 
Permulaan trek agak landai dan boleh dianggap trek pemanas badan. Selepas 15 minit perjalanan, pendaki akan menempuh trek pancak atau curam. Memang mencabar mental dan fizikal.

Selepas melalui kawasan mencabar, pendaki akan melalui kawasan kolam semulajadi yang dikenali Blue Pool atau Kolam Biru. Masa pendakian untuk sampai di Blue Pool dari Lata Payung mengambil masa kira-kira 1 jam.

Bagi pendaki menuju puncak Gunung Sarut, mereka biasanya akan berehat seketika dan mandi di Blue Pool.

Sebenarnya, selain menjadi tempat persinggahan pendaki menuju puncak Gunung Surut, ada juga pengunjung yang hanya ingin sampai di Blue Pool sahaja. 
 
Bagi yang sekadar ingin sampai di Blue Pool sahaja, mereka hanya perlu mempunyai kekuatan fizikal untuk hiking selama kira-kira 1 jam untuk sampai di situ.

Keistimewaan Blue Pool ialah airnya yang jernih kehijauan hingga menampakkan dasar sungai. Di sini juga pengunjung dapat melihat ikan-ikan berenang di dasar sungai. Jika ada kamera atau telefon pintar yang kalis air, anda berpeluang merakamkan aksi berenang di bawah permukaan air.

Selain airnya yang jernih, air terjun di Blue Pool sangat sejuk hingga menusuk ke tulang hitam kerana lokasinya terletak di kawasan bukit bukau. Disebabkan itu tak ramai mampu berendam di dalam air terlalu lama.

Blue Pool semakin popular apabila pengunjung sering berkongsi gambar mereka di media sosial. Kawasan ini semakin ramai dikunjungi orang ramai selain yang hanya sekadar sampai di Lata Payong sahaja.

Lata Payung satu masa dahulu telah diwartakan sebagai Hutan Lipur. Namun disebabkan kes kepala air yang kerap berlaku, Hutan Lipur Lata Payung ditutup kepada orang ramai. Tapi kenapa kerap sangat kes kepala air berlaku di Lata Payong? 

Untuk memahami fenomena kepala air di Lata Payong, kita kena fahamkan mengenai hujan bukit dahulu. Orang putih panggil relief rainfall. 
 
Hujan bukit berlaku apabila udara panas dan lembap dari laut ‘dipaksa’ naik ke atas akibat laluannya dihalang oleh kawasan tanah tinggi (bukit atau gunung).

Apabila udara yang panas dan lembap, naik hampir ke puncak gunung udara tersebut akan terkondensasi dan menyebabkan berlakunya hujan. 
 
Hujan di puncak gunung ini akan membanjiri sungai-sungai di kawasan gunung dan apabila sampai di kawasan rendah ianya cukup besar lalu menjadi kepala air.

Lokasi Gunung Sarut adalah mengadap pantai Setiu. Udara panas dan lembap dari laut di sekitar Pantai Penarik, Pantai Rhu 10 dan Pantai Merang akan bergerak menuju ke Gunung Sarut. 
 
Ini puncanya hujan bukit kerap berlaku di Gunung Sarut dan air Lata Payung akan menjadi besar secara tiba-tiba dan terjadinya kepala air.

Sekiranya anda pergi ke Gunung Sarut, anda pasti terpukau dengan keindahan permatang bonsai. 
 
Akibat dari terdedahan Gunung Sarut kepada hujan bukit, gunung sarut tidak dapat menyimpan suhu panas dari pancaran matahari waktu pagi, kerana disirami hujan pada sebelah petang. 
 
Ini menyebabkan suhu gunung sarut lebih sejuk pada paras 800 meter dan pokok bonsai boleh hidup pada aras 800m.

Kepada para pendaki, sila berhati-hati ketika mendaki Gunung Sarut terutamanya ketika melalui Blue Pool. Ada kemungkinan besar paras air sungai akan naik secara tiba-tiba dan menyebabkan trip anda tergendala.

1 comment:

  1. mcm mana pergi ke tmpt ni.,mgkin boleh d uruskan nanti bila mco habis.. tq

    ReplyDelete