Friday 21 September 2018

MASJID AL-HANA, LANGKAWI

Pulau Langkawi terkenal sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. Banyak tempat menarik menjadi tumpuan para pelancong. Salah satu tempat sering menjadi persinggahan pelancong dan orang Islam menunaikan ibadat ialah Masjid Al-Hana. Ia termasuk dalam senarai tempat Jejak Warisan Langkawi.  

Masjid Al-Hana yang terletak di Persiaran Putra, di antara bandar Kuah dengan jeti Kuah adalah salah sebuah masjid terbesar dan tercantik di Langkawi. Masjid al-Hana dibina pada tahun 1959 dan dirasmikan pembukannya oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1961.

Selaras dengan pembangunan pesat Pulau Langkawi, Masjid ini pernah diubah suai pada tahun 1993 Masihi dan mampu memuatkan kira-kira 1,200 jemaah pada satu masa dan kemudian dinaiktarfkan sekali lagi untuk membolehkan ia menampung lebih 2000 jemaah dengan peruntukan dari Lembaga Pembangunan Langkawi. 

Reka bentuk masjid ini berkonsepkan seni bina Timur Tengah yang mempunyai menara-menara bersaiz besar dan kecil. Setiap satu menara ini dilengkapi dengan kubah mengikut kesesuaian.

Semua kubahnya berbentuk bawang, namun terdapat dua warna yang membezakan antara kubah yang dibina di bahagian bumbung dengan kubah yang dipasang pada menara, iaitu pilihan warna kuning hitam dan warna biru. Ukiran-ukirannya dikatakan mengikut motif kehebatan seni Islam dari Uzbekistan yang diterjemahkan kepada reka bentuk seni bina Melayu. 

Selain keindahan reka bentuk bangunan, Masjid Al-Hana terserlah dengan ciri-ciri seni taman dan kebersihan sekitarnya. Tambah menceriakan kedudukannya bersebelahan dengan Taman Peringatan CHOGM. 

Ia mencerminkan sesuatu yang menarik pada pandangan pelancong asing tentang pengurusan tempat ibadat orang Islam. Masjid Al-Hana menjadi lokasi pelancong untuk mengabadikan kenangan berkunjung di Pulau Langkawi. 

Kedudukan di laluan utama dari jeti Kuah ke bandar Kuah menjadikan Masjid Al-Hana mudah dikunjungi pelancong Islam menunaikan sembahyang. Kedudukan masjid bersebelahan pusat membeli belah memberi kemudahan kepada pengunjung menunaikan sembahyang tepat pada waktunya.

Penghuni hotel berdekatan juga biasanya memilih untuk bersembahyang di Masjid Al-Hana. Pada hari persekolahan, Masjid Al-Hana turut digunakan pelajar sekolah berhampiran untuk menunaikan sembahyang berjemaah.

No comments:

Post a Comment