Tuesday, 9 October 2018

JEMBAL PUSAT KERAJAAN KELANTAN LAMA

Kota Jembal sebuah pekan terletak kira-kira 8 kilometer dari Kota Bharu banyak menyimpan sejarah mengenai keturunan Raja Jembal yang pernah memerintah Kelantan Utara pada masa dahulu. 

Kota Jembal sebelum ini dikenali Kedai Lalat. Pertukaran nama kepada Kota Jembal dilakukan pada tahun 2004. Namun orang ramai masih mengenalinya dengan nama Kedai Lalat. Bahkan, nama Kedai Lalat sinonim dengan fenomena pagi Jumaat di mana orang ramai berpusu-pusu membeli barang keperluan di situ.  

Orang ramai diingatkan agar tidak keliru dengan satu lagi kampung bernama Jembal yang terletak kira-kira dua kilometer dari Kota Jembal. 

Kota Jembal menjadi tumpuan penduduk sekitar Kota Bharu, Kubang Krian, Pengkalan Chepa dan Bachok untuk membeli keperluan harian pada setiap pagi Jumaat. 

Mengikut riwayat, kerajaan Jembal diasaskan oleh Raja Bersiong yang melarikan diri dari Kedah. Bagaimanapun keturunan yang memerintah kerajaan Jembal adalah anak angkat kepada Raja Bersiong yang dikenali Raja Sakti.

Keturunan Raja Sakti bersemayam di Kota Jembal sehinggalah Long Bahar.  Long Sulaiman yang ditabalkan menggantikan Long Bahar memilih untuk bersemayam di Kota Kubang Labu yang terletak di seberang Sungai Kelantan. 

Kota Jembal ditinggalkan sebagai perkampungan keturunan Raja Jembal. Sebab itu, pendudukan Kota Jembal ramai menggunakan gelaran raja, tuan, ku, tengku dan nik pada pangkal nama. 

Di Kota Jembal terdapat beberapa kesan pemerintahan kerajaan Jembal. Antara dikenalpasti ialah makam Raja Loyar, makam Raja Udang dan makam Raja Sungai.

Generasi baru tidak mengetahui wujud tinggalan sejarah yang penting berkaitan kerajaan Kelantan di kawsan itu. Ramai bertanya apakah kaitan nama Kedai Lalat ditukarkan kepada Kota Jembal.  

Usaha memperkenalkan Kota Jembal sebagai lokasi terawal pemerintahan kerajaan Kelantan dilakukan Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK). Usaha tersebut termasuklah menyediakan dokumantasi yang lengkap sejarah mengenai keturunan raja-raja Jembal, penamaan sekolah dan jalan, membina papan tanda dan meningkatkan kemudahan infrastruktur di Kota Jembal.

Dua sekolah di Kota Jembal diberi nama sempena nama pemerintah kerajaan Jembal iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Raja Bahar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti. Nama Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat telah ditukarkan nama Sekolah Kebangsaan Kota Jembal. 

Manakala dua jalan di Kota Jembal dinamai Jalan Raja Sakti dan Jalan Raja Omar.

No comments:

Post a Comment