Sunday, 28 October 2018

ISLAM JANJI AMAN DAN DAMAI

Islam menjanjikan keamanan mutlak kepada umatnya dan juga manusia sejagat. Islam tidak mendatangkan sebarang bencana atau kesusahan seperti tuduhan dilempar pihak tidak menyenangi Islam. Malah, Islamlah yang menganjurkan keamanan ketika manusia sedang menuju perpecahan.   

Ajaran Islam penuh dengan toleransi. Islam disebarkan atas dasar sukarela dan menghormati kedudukan penganut agama lain. Konsep utama Islam ialah tidak ada paksaan dalam beragama. 

Firman Allah bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam)”  (Surah al-Baqarah, ayat 256).

Prinsip toleransi dan menolak sikap melampau menjadi tulang belakang kepada penerimaan Islam dalam masyarakat Arab ketika Islam mula disebarkan oleh Rasulullah. Rasulullah tidak melakukan paksaan kepada mana-mana individu atau kaum untuk menerima Islam. 

Peristiwa pembukaan kota Makkah memperlihatkan betapa murni dan halusnya ajaran Islam, di mana Rasulullah memberi kebebasan sepenuhnya kepada penduduk membuat pilihan apa diingini. 

Rasulullah tidak menyimpan perasaan dendam terhadap golongan Quraisy yang pernah menyiksa baginda dan para sahabat. Sedangkan pada ketika itu baginda mampu melakukan apa saja terhadap golongan Quraisy.   

Rasulullah tidak mengambil kesempatan menyeru golongan Quraisy memeluk Islam ketika mana golongan itu masih dalam ketakutan. Sebaliknya, apa yang dijelaskan Rasulullah ialah mengenai kebebasan, menyeru meninggalkan amalan jahiliyah dan menghubungkan tali persaudaraan tanpa membezakan taraf kaum.

Sifat toleransi Rasulullah telah menawan hampir keseluruhan golongan Quraisy memeluk Islam. Jelas sekali Islam tidak disebarkan dengan kekerasan atau paksaan. Keindahan dan kemurnian ajaran Islam menjadi daya penarik ramai memeluk Islam.

Dengan kata lain, soal mengenai hak asasi dan kebebasan beragama yang diperjuangkan masyarakat Barat sekarang sebenarnya telah lama diamalkan dalam ajaran Islam. Islam membawa sinar kebenaran dalam semua aspek kehidupan seperti mana diingini naluri manusia. 

Sifat ganas dan melampau yang ditonjolkan oleh segelintir umat Islam sekarang, bukan dari ajaran Islam. Islam melarang penganutnya melakukan sebarang kerosakan di bumi ini, baik terhadap manusia, tumbuhan, binatang dan alam.

Firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi selepas Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan”  (Surah al-Araf, ayat 56).

Sabda Rasulullah bermaksud: “Seorang perempuan masuk neraka dengan sebab seekor kucing yang diikatnya tanpa memberinya makanan dan tidak pula membiarkannya mencari makanan daripada serangga yang melata di bumi”  (Hadis riwayat Bukhari).

Sekiranya menyiksa binatang menyebabkan seseorang masuk neraka, apatah lagi perbuatan kejam terhadap manusia. Perbuatan melampau melibatkan pembunuhan, kerugian harta benda dan menganggu ketenteraman awam amat ditegah dilakukan walau apa tujuan sekalipun. 

Islam membenarkan peperangan bertujuan mempertahankan hak dan menjamin keselamatan. Istilah peperangan merujuk kepada pertempuran tentera dengan tentera menggunakan kekuatan tenaga manusia dan persenjataan.

Tindakan mengebom tempat awam tidak termasuk istilah peperangan yang dibenarkan oleh Islam. Sebarang bentuk kematian dan kemusnahan akibat tindakan itu adalah satu jenayah. 

Orang awam tidak terlibat secara langsung dalam usaha memerangi Islam.  Oleh itu ia tidak termasuk golongan yang dibenarkan diperangi. Malah, jika termasuk golongan yang dibenarkan diperangi, ia sekadar untuk mempertahankan hak dan menegakkan kebenaran. Ia sekadar dilakukan pada tahap mencapai matlamat dan bukan melampaui batasan.

Firman Allah bermaksud: “Berperanglah kamu semua di jalan Allah demi memerangi orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang yang melampau batas”  (Surah al-Baqarah, ayat 190).

Tindakan ekstrem menambah lagi parah tekanan dan diskriminasi yang dikenakan terhadap orang Islam. Musuh Islam menggunakan alasan tindakan ekstrem dilakukan individu Islam untuk menghukum seluruh umat Islam. Tindak balas itu memberi lesen untuk musuh Islam menghancurkan Islam atas alasan memerangi keganasan.

Dalam menghadapi cabaran umat Islam kini, cara peperangan tidak sesuai untuk dipraktikkan. Sebaliknya, kita perlu melihat dalam diri sendiri apakah punca kelemahan yang dihadapi. Umat Islam perlu bersatu membina kekuatan dalam diri dan mengamalkan ajaran Islam sebenar adalah cara terbaik menghadapi cabaran dihadapi sekarang. 

Islam mengajar sifat toleransi dan mengutamakan pembentukan sifat saling berbuat baik, termasuk di kalangan bukan Islam. Ajaran Islam perlu ditonjolkan sebagai cara hidup terbaik untuk manusia. Cara itu dapat menarik lebih ramai orang memeluk Islam.  

No comments:

Post a Comment