Sunday 28 October 2018

USAHA CEGAH MASALAH BULI DI SEKOLAH PERLU DIPANDANG SERIUS

Kes buli di sekolah masih berlaku, biarpun dianggap kes terpinggir atau dalam peratusan yang kecil. Besar atau kecil peratusan kes tidak harus dipandang mudah kerana telah banyak berlaku kes akibat buli menyebabkan kematian, kecacatan dan kecederaan serius. 

Umumnya pihak sekolah berusaha bersungguh-sungguh mencegah dan menangani buli. Apa yang menjadi persoalan ialah sejauh manakah kecekapan dan keberkesanan sekolah dalam melaksanakannya. Ada beberapa kes buli memerlukan pemerhatian lebih teliti iaitu sebelum ia merebak menjadi wabak.

Sebenarnya, buli di sekolah adalah masalah yang agak signifikan. Tetapi, oleh kerana ia jarang dilaporkan, kecuali apabila membabitkan kes besar, maka belum wujud kefahaman mendalam mengenai makna, jumlah dan jenisnya serta kaedah pencegahannya.

Dari segi definisi, seseorang pelajar dikira dibuli apabila dia secara berulang kali terdedah kepada perlakuan negatif oleh seorang atau lebih, pelajar lain. Perlakuan negatif itu boleh jadi dalam bentuk keganasan fizikal, kekasaran lisan, perbuatan kasar, peras ugut, suruhan atau arahan tidak wajar, penyebaran khabar angin atau fitnah dan penyisihan yang disengajakan daripada kumpulan rakan sebaya.

Bagi mangsa, ketakutan, kepedihan dan kesakitan bukan saja dirasai ketika dibuli, malah juga apabila diancam untuk dibuli atau kemungkinan dibuli lagi pada masa akan datang. Selepas dibuli, mangsa menghadapi beberapa masalah besar, terutama dari segi psikologi, nilai diri, akademik dan perhubungan dengan orang lain.

Kajian di Ireland, Belanda, United Kingdom, Kanada, Norway, Amerika Syarikat dan Australia  menganggarkan kejadian dibuli berulang kali (sekali seminggu atau lebih) membabitkan empat hingga 13 peratus daripada pelajar sekolah, manakala anggaran pelajar membuli berulang kali ialah antara satu hingga 17 peratus.

Tetapi, apabila dikira kejadian buli yang berlaku sekali atau sesekali saja, maka angkanya agak besar, iaitu didapati 35 peratus daripada pelajar pernah dibuli, manakala 26 peratus pula pernah membuli.

Berdasarkan kes buli dilaporkan dan diceritakan di sekolah, dapat dirumuskan tiga komponen faktor menyebabkannya berlaku. Faktor itu ialah ciri peribadi pembuli dan mangsa, ciri keluarga pembuli dan mangsa, serta persekitaran dan budaya sekolah.

Disebabkan itu, pendekatan bagi pencegahan buli perlu menggariskan strategi yang memfokus kepada ketiga-tiga komponen faktor berkenaan.

Strategi yang memfokus kepada pembuli perlu menghukum pembuli; menggalakkan rakan sebaya, guru dan ibu bapa menunjukkan penolakan terhadap perlakuan buli; memberi maklum balas mengenai masalah ditanggung mangsa dan membantu pembuli mengembangkan empati terhadap mangsa; mengadakan penyelesaian konflik antara pembuli dan mangsa; dan memotivasi pembuli supaya berubah.

Strategi yang memfokus kepada mangsa pula perlu mengingatkan mengenai kemungkinan dibuli; latihan mengelakkan daripada keadaan kemungkinan dibuli; menggunakan pelbagai kaedah, termasuk drama, mengenai cara menangani buli; menggalakkan pelajar memantau dan melaporkan kes buli; meningkatkan kemahiran, keyakinan dan nilai diri; mewujudkan kumpulan penyokong bagi mangsa; dan mendidik ibu bapa tentang buli.

Bagi strategi memfokus kepada persekitaran dan budaya sekolah perlu meningkatkan pemantauan disiplin oleh sekolah; menubuhkan mahkamah buli dan melaksanakan program bersepadu pencegahan buli di sekolah.

Program bersepadu pencegahan buli di sekolah terdiri daripada pelbagai aspek. Tetapi, satu aspek selalu dipinggirkan ialah peranan pengawas yang sebenar. Ada sekolah menengah pernah mempunyai sistem pengawas yang amat baik pada satu masa dulu, tetapi tiada lagi pada hari ini. Sistem pengawas yang kuat adalah satu cara berkesan bagi mencegah buli di sekolah.

No comments:

Post a Comment