Sunday, 28 October 2018

PELAKU DERA LAYAK DIGELAR BINATANG

Kejadian penderaan terhadap kanak-kanak adalah di luar batasan kemanusiaan, lebih-lebih lagi dilakukan oleh ibu bapa sendiri. Islam mementingkan ikatan kasih sayang dan belas kasihan.  Sebarang bentuk  penderaan sama ada fizikal maupun emosi dilarang. Penderaan meninggalkan kesan buruk yang berpanjangan yang melibatkan emosi, dendam dan membentuk diri yang negatif.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan menanggung kesan emosi yang lebih panjang berbanding kesan fizikal. Ini mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak melakukan perbuatan sama kepada orang lain. Mereka turut menyimpan dendam terhadap pelakunya. 

Ibu, bapa dan orang dewasa yang mempunyai tanggungjawab terhadap kanak-kanak wajar memikirkan nasibnya pada masa depan. Dirinya tidak sepanjang masa muda dan sihat. Tiba saat masa tua dan segala kekuatan telah berkurangan. Ketika itulah mengharapkan bantuan dan perhatian daripada orang muda, iaitu kanak-kanak yang pernah diabaikannya dulu.

Dalam kes penderaan lain, berlaku berasaskan hubungan pelaku merasakan dirinya lebih berkuasa, lebih kuat, lebih berpengaruh atau lebih kaya berbanding mangsa. Manakala mangsa pula tidak mampu mempertahankan hak disebabkan kekurangan pada diri sendiri.

Orang melakukan penganiayaan menunjukkan lagak berkuasa. Sedangkan sebenarnya dia tidak mempunyai apa-apa kuasa melainkan apa yang dipinjamkan Allah SWT kepadanya. Allah SWT  memberi kelebihan dan kekuatan untuk tujauan membuat kebaikan. 

Allah SWT amat murka kepada orang yang merasa dirinya lebih berkuasa dan bertindak sesuka hati. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-gunung.” (Surah al-Isra, ayat 37).

Sikap menggunakan kekuasaan bukan pada tempatnya tidak akan menonjolkan diri seseorang menjadi lebih hebat. Sebaliknya, perbuatan zalim yang dilakukan lambat laun akan menerima pembalasan yang setimpal. 

Sesiapa melakukan penderaan menyalahi undang-undang negara yang jika sabit kesalahan di mahkamah boleh dikenakan hukuman berat. Khalayak sering membaca atau menonton laporan kes penganiayaan ibu bapa atau keluarga terhadap kanak-kanak, suami mendera isteri, ibu atau bapa menjadi mangsa sikap anak-anak, orang gaji diperlakukan seperti hamba oleh majikan.  
  
Hukuman terhadap pesalah melakukan penderaan tidak hanya diterima setakat di dunia. Bahkan, Rasulullah SAW telah menjelaskan perbuatan itu bakal menerima pembalasaan siksaan daripada Allah SWT di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Allah akan menyeksa orang yang menyeksa (sesama) manusia di dunia.” (Hadis riwayat Muslim).

Perbuatan penderaan yang semakin merebak adalah tanda kepincangan dan krisis kemelut sosial yang semakin menular dalam masyarakat. Kehidupan tidak lagi berlandaskan kepada perasaan kasih sayang dan saling menghormati.
 
Allah SWT mencipta manusia yang berlainan jantina, paras rupa, kekayaan dan kebolehan dengan tujuan agar manusia dapat berhubungan dalam suasana harmoni dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai manusia!  Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama lain. Yang lebih mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa.” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Penerapan amalan beragama dan perasaan kasih sayang adalah cara paling berkesan untuk mengatasi masalah kepincangan sosial ini. Agama Islam mengajar manusia melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan mendatangkan keburukan. 

Salah satu elemen penting dalam ajaran Islam ialah mewujudkan perasaan kasih sayang melibatkan sesama manusia, terhadap binatang, tumbuhan dan alam semesta. Kasih sayang mengikat memperkuatkan hubungan agar tidak melakukan perbuatan mendatangkan keburukan kepada pihak lain.

No comments:

Post a Comment