Friday, 8 February 2019

JUDI PUNCA KUAT BERANGAN


Aktiviti perjudian melahirkan masyarakat malas berusaha, kuat berangan-angan dan pasif terhadap tanggungjawab. Kaki judi lebih banyak menumpukan perhatian kepada hal-hal bersangkutan judi. Mereka tidak kisah soal urusan kerja seharian dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

Terdapat kaki judi turut terlibat dalam kurafat seperti memohon kepada kubur atau tempat yang dianggap keramat agar mereka mendapat untung besar dalam perjudian. Berjudi berdosa besar. Manakala perbuatan kurafat pula adalah syirik yang tidak diampunkan dosanya.

Oleh demikian itu, perbuatan judi perlu dijauhkan sama sekali tidak kira apa bentuk pun. Sebenarnya tidak ada individu mendapat kekayaan hasil berjudi. Kalau pun menang sekali sekala, jumlah yang diperoleh tidak balik modal yang mana wang yang telah dihabiskan sebelum itu lebih besar daripada jumlah yang diperoleh itu.

Tambahan pula, wang yang diperoleh daripada sumber haram tidak membawa keberkatan kepada pemiliknya. Tidak ada orang yang hidup bahagia dan sejahtera hasil wang berjudi. Wang hasil haram dipanggil wang panas yang mendatangkan pelbagai keburukan tidak disangka-sangka menjadikan kehidupan tidak tenteram dan merugikan.  

Setiap orang yang ingin mendapat kekayaan haruslah berusaha mengikut jalan yang dibenarkan syariat. Usaha yang gigih dan kena caranya akan mendatangkan hasil yang lumayan.   

Sesungguhnya usaha mencari kehidupan yang lebih baik dengan cara berkerja bersungguh-sungguh adalah sebahagian daripada ibadat. Melaluinya kita mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment