Nama Ismail antara nama
paling diingati dan disebut di sepanjang zaman kehidupan manusia. Sebut sahaja
Kaabah dan ibadat korban, pasti nama Ismail tidak ditinggalkan.
Ismail bin Ibrahim adalah
salah seorang nabi dan rasul yang wajib diyakini dalam senarai 25 orang yang
dikaitkan dengan Percaya Kepada Nabi dan Rasul yang menjadi salah satu Rukun
Iman.
Nabi Ismail adalah
anak Nabi Ibrahim dan ibunya Siti Hajar. Siti Hajar adalah budak yang diberikan
oleh Raja Mesir kepada Nabi Ibrahim. Dari semenjak kecil hingga dewasa
Siti Hajar dipelihara oleh Nabi Ibrahim sehingga diperisterikan sebagai isteri
kedua.
Perkahwinan kedua Nabi
Ibrahim antara lain bertujuan mendapatkan zuriat kerana isteri pertama iaitu
Siti Sarah yang sudah berusia tidak mampu melahirkan zuriat. Namun, setelah
perkahwinan Nabi Ibrahim dan Siti Hajar, Siti Sarah turut mengandung yang
kemudiannya melahirkan anak yang juga dilantik menjadi nabi iaitu Nabi Ishak.
Untuk mengelak sengketa
(sebenarnya satu perintah dari Allah), Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan
Ismail yang masih bayi ke negeri Mekkah yang pada waktu itu masih merupakan
padang pasir kosong yang belum didiami oleh manusia. Siti Hajar dan Nabi Ismail
ditinggalkan berdua sahaja dengan sedikit bekalan makanan dan minuman.
Suatu ketika Siti Hajar
kehabisan air, beliau sangat kehausan sehingga air susunya pun kering. Dalam
usahanya mencari air, Siti Hajar berlari kian kemari sampai ke bukit Shafa dan
Marwah. Kemudian Siti Hajar mendengar suara Malaikat Jibril yang menunjuk suatu
tempat (Shafa) di mana bayinya (Ismail) dibaringkan dalam keadaan menangis
sambil merentak-rentakan kakinya.
Atas izin Allah didekat
Ismail menangis itu, memancarlah mata air. Siti Hajar tergesa-gesa
menampungnya. Kemudian Malaikat Jibril berkata kepada air yang berlimpah-limpah
itu "Zam-Zam!" yang artinya "Berkumpullah!"
maka air itu berkumpul untuk kemudian menjadi telaga dan sampai sekarang ini
disebut telaga Zam-zam.
Usaha Siti Hajar mencari
dari bukit Shafa ke Marwah dijadikan salah satu Rukun Haji yang disebut Sai,
iaitu berjalan kaki dari Shafa ke Marwah, pulang pergi tujuh kali.
Setelah beberapa lama
meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail di Mekah, Nabi Ibrahim kembali ke
Mekah. Ketika itu Mekah telah berubah menjadi penempatan yang subur dan makmur.
Suatu ketika Nabi Ibrahim
bermimpi menyembelih anaknya Nabi Ismail. Lalu dikatakannya hal itu kepada
Ismail, anaknya yang sudah besar itu pun menjawab "Hai bapakku, kerjakanlah sebagaimana diperintahkan Allah iaitu
menyembelihku, mudah-mudahan bapak akan menyaksikanku berhati sabar".
Maka Nabi Ibrahim pun
membaringkan Ismail ke tanah dengan maksud akan disembelihnya. Pada saat itulah
Allah menebusnya dengan seekor biri-biri (kibas) yang besar. Dari
peristiwa itu disunatkan melakukan ibadat korban pada setiap Aidiladha dan hari
Tashrik.
Nabi Ibrahim bersama Nabi
Ismail kemudian mendirikan Kaabah yang menjadi qiblat bagi umat manusia sedunia
dalam beribadah sehingga kini dan sampai hari kiamat.
No comments:
Post a Comment